P'raya: Umno utamakan calon pilihan akar umbi, kata PM
Umno akan mengutamakan personaliti calon sebagai kriteria utama pemilihan calon dalam pilihanraya umum akan datang, kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh pelbagai pihak mengenai kriteria yang perlu ada pada calon Umno.
Dalam tinjauan tersebut, katanya, 60 peratus kemenangan Umno dalam pilihanraya bergantung kepada faktor calon.
Umno akan mengutamakan personaliti calon sebagai kriteria utama pemilihan calon dalam pilihanraya umum akan datang, kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh pelbagai pihak mengenai kriteria yang perlu ada pada calon Umno.
Dalam tinjauan tersebut, katanya, 60 peratus kemenangan Umno dalam pilihanraya bergantung kepada faktor calon.
"Antara kriteria calon Umno ialah pandai jaga diri, tidak rasuah, beri perhatian kepada semua orang dan yang paling penting disukai ramai di peringkat akar umbi.
"Zaman telah berubah, orang semakin pandai, mereka sudah pandai membuat penilaian dan pemilihan berdasarkan kriteria seseorang calon.
"Kalau dulu letak songkok sebagai calon Umno pun boleh menang tetapi kini tidak lagi," katanya ketika memberi penerangan kepada kira-kira 3,000 pemimpin Umno dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd najid Tun Razak; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad; Ketua Penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Ketua Wanita Datuk Rafidah Aziz; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).
Seorang pemimpin Umno Kelantan memberitahu Malaysiakini, Abdullah juga meminta ahli parti supaya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang.
Sokong calon
Katanya, Abdullah meminta ahli parti memberi sokongan kepada calon yang dipilih oleh parti.
"Kalau yang digugurkan, sudah bersara kena menyokong calon Umno. Kalau ia bukan calon Umno, kena menyokong calon BN yang bertanding di kawasan tersebut," kata beliau lagi.
Menurutnya, Abdullah memberitahu bahawa rakyat membuat penilaian terhadap kerajaan yang ada sama ada mereka boleh memajukan negara atau tidak.
Sehubungan itu, beliau berkata, Perdana Menteri mahu ahli parti bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
"Banyak lagi yang perlu dilakukan dan kerana itu kerajaan sedia ada memerlukan mandat rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.
"Kita memerlukan parti yang kuat, oleh itu hanya muafakat dan perpaduan di kalangan ahli akan menjadikan parti kuat," katanya.
Dalam majlis tersebut, kata pemimpin Umno Kelantan itu, Abdullah juga memberi penerangan mengenai isu-isu semasa seperti kedudukan ekonomi, harga minyak dan keselamatan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan termasuk berikrar membasmi kemiskinan dalam tahun 2010.

