Beliau mungkin telah bersara dari politik tetapi semua itu tidak menghalang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turut sama membuat spekulasi mengenai tarikh pilihanraya umum

Menjawab soalan pemberita selepas melancarkan (foto) cawangan kedua kedai rotinya, The Loaf, di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum.

“Ia sesuai sekarang. Semuanya naik. Harga barangan naik, pasaran saham naik. Roti pun naik,” katanya sambil tersenyum lebar.

Dr Mahathir berkata, sewaktu pentadbirannya selama 22 tahun sehingga Oktober 2003, beliau akan memutuskan tarikh pilihanraya apabila beliau yakin menang.

“Jika anda mahu tahu bila pilihanraya (akan diadakan), tunggu bila kerajaan nampak yakin akan menang," katanya.

Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengulangi kemenangan besarnya sebelum ini, beliau menjawab: “Mereka pasti akan menang, tiada keraguan mengenainya.”

“Saya tidak tahu berapa peratusannya kerana mereka belum lagi memberitahu saya, tetapi ia adalah kemenangan besar," katanya berseloroh.

Pada 2004, BN memperolehi 92 peratus sokongan pengundi. Bagaimanapun, tidak ramai yang menjangka BN mampu mengulangi kemenangan besar itu ekoran wujudnya rasa tidak puashati rakyat terhadap kerajaan berhubung isu-isu seperti ekonomi dan peningkatan kadar jenayah.

Dr Mahathir juga turut membidaskan menteri-menteri, dengan berkata orang Jepun terkenal dengan sikap mereka yang mementingkan kualiti yang tinggi dalam setiap perkara.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena di sini, menterinya tidak berbuat apa-apa. Tetapi di Jepun, menterinya akan terjun dari bangunan," katanya secara berseloroh tanpa menyebut sebarang nama.

Sebelum itu, Dr Mahathir memberitahu, beliau mengambil keputusan untuk membabitkan diri dalam industri membuat roti Jepun kerana beliau kagum dengan kualiti yang tinggi dalam proses pembikinannya.

'Mudah lupa'

Dr Mahathir dan seorang usahawan Jepun, Jiro Suzuki merupakan pemilik bersama The Loaf. Pembuat rotinya diketuai oleh pemenang anugerah ketua chef, Yukichi Matsubara dari Jepun. Cawangan pertamanya beroperasi di Pulau Langkawi pada Julai 2006.

Setibanya di kompleks membelibelah Pavilion tempat kedai rotinya beroperasi, orang ramai mengerumuni Dr Mahathir untuk berjabat tangan dengan beliau serta isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan ringkas dengan mengucapkan terima kasih kepada para tetamu yang hadir memberi sokongan.

Dr Mahathir juga turut mengeletek hati para tetamu apabila beliau tidak dapat mengingati nama pengerusi Pavilion mall.

“Mahathir mudah lupa. Saya berusia 82 tahun. Saya lupa banyak perkara. Kadangkala ada baiknya lupa perkara-perkara tertentu," katanya, disambut dengan tepukan hadirin.

Bekas perdana menteri itu menjadi tumpuan minggu lalu apabila beliau "tidak dapat mengingati" banyak perkara ketika dipanggil keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

Antara mereka yang hadir di majlis hari ini ialah anak perempuannya, Datuk Marina, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Khalid Jiwa; ahli pernigaan Tan Sri Vincent Tan; ahli politik DAP, Jeff Ooi; bekas Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Kadir Jasin dan bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, yang juga bekas menteri pengangkutan. Berita asal