mk-logo
Berita
Haramkan buku sudah tak realistik pada zaman internet - Rais

Tindakan pengharaman buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilihat sudah tidak realistik dengan situasi semasa, kata veteran politik, Rais Yatim.

Bekas menteri era Umno itu juga berkata, tindakan oleh agensi kerajaan persekutuan itu tidak lagi praktikal dan bercanggah dengan janji Pakatan Harapan.

Merujuk kepada janji PH yang antara lain untuk menyemak dan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Rais berkata isu pengharaman buku sekali gus menjadikan kredibiliti PH sebagai kerajaan dinilai dengan kritis.

"Jadi dengan itu, kredibiliti PH sebagai pemerintah bersama DAP sedang berada di tahap penilaian yang kritis.

"Bikin tak seperti cakap, itu orang Cina dulu cakap. Sekarang dia (kerajaan PH) yang buat begitu. Dulu Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) mengatakan information is a must for everybody (maklumat adalah satu keperluan untuk semua orang). Sekarang, apa orang tak baca? Baiklah, (kalau) haramkan (buku), orang boleh baca dengan internet.

"Sekarang, berlambak, jadi tak realistik. Di zaman ini, tak realistik lagi haram mengharamkan buku," tegasnya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, kelmarin.

Untuk rekod PH dalam manifesto PRU ke-15 mengemukakan tawaran untuk memansuhkan akta yang disifatkan sebagai zalim.

Ini termasuklah hasrat untuk menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Terdahulu isu pengharaman buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kembali diperkatakan selepas tindakan penguatkuasaan diambil terhadap banyak penerbitan.

Antaranya buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10, Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, dan buku terjemahan mengenai Mao Zedong yang diterbitkan di bawah pembiayaan kerajaan negeri Selangor.

Mengulas lanjut Rais berkata, pengharaman terhadap buku mengenai Shamsiah Fakeh adalah tidak munasabah dan mesti dibantah.

"Kecuali, pada hemat saya, buku-buku pornografi bagi anak-anak, itu haram. Tiada masalah diharamkan. Tapi tentang komunislah, tentang Shamsiah Fakeh lah tak munasabah dan kita mesti bersuara.

"Jadi saya harap, kalau dapat detail (butiran), saya boleh suarakan menerusi NGO. Kalau untuk menentukan tahap kemusnahan masyarakat, saya fikir buku Shamsiah ini tak ada benda.

"Bacalah dulu, bab mana buku itu yang tak sesuai? Tapi itu pun tak ada benda berbanding dengan Karl Marx. Buku Karl Marx itu (mengenai) doktrin komunis," katanya.

Rais turut berkongsi pengalaman ketika pengharaman buku bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika dia menjadi timbalan menteri dalam negeri, dengan menteri dalam negeri Ghazali Shafie.

"Buku yang diharam masa itu, buku Dr Mahathir, Dilema Melayu.

"Cubalah fikir Dilema Melayu diharamkan. Satu hari saya kena marah dengan bos saya (Ghazali). Dia kata dia diarah oleh kabinet supaya haramkan (Dilema Melayu).

"Jadi apa nak buat, kabinet arah, saya timbalan menteri kena ikut. Tapi saya baca Dr Mahathir punya buku ini tak ada benda. (Buku) Shamsiah pun saya fikir macam itu.

"Banyak buku lagi yang harus kita baca untuk minda perbandingan. Orang Melayu khasnya sekarang tak suka baca. Dia pakai (baca) yang ini saja (internet). Ini telaah yang tak baik," kata Rais.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS