Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Witkoff, Kushner ke Pakistan untuk rundingan Iran
Diterbitkan:  Apr 25, 2026 8:55 AM
Dikemaskini: 12:55 AM

GLOBAL | Washington memaklumkan, utusan khas AS, Steve Witkoff, dan penasihat Jared Kushner akan berlepas ke Pakistan pada Sabtu bagi mengadakan rundingan dengan wakil Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt dalam temu bual dengan Fox News.

“Saya boleh mengesahkan utusan khas Steve Witkoff dan Jared Kushner akan ke Pakistan sekali lagi pagi esok untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan perantaraan Pakistan yang telah memainkan peranan luar biasa sepanjang proses ini, bersama wakil delegasi Iran,” kata Leavitt dalam temu bual itu.

Dia berkata Tehran meminta pertemuan itu diadakan selepas Presiden Donald Trump menggesa mereka untuk berunding.

“Kami berharap ia akan menjadi perbincangan yang produktif dan mudah-mudahan membawa kemajuan ke arah satu perjanjian,” katanya.

Leavitt berkata Naib Presiden JD Vance akan kekal berada di AS walaupun dia akan “terus terlibat secara mendalam dalam keseluruhan proses” berkenaan.

“Dia akan bersiap sedia di sini, di AS, bersama presiden, Setiausaha Negara Marco Rubio dan seluruh pasukan keselamatan negara untuk mendapatkan perkembangan terkini.

"Sudah tentu, semua pihak akan bersedia untuk berlepas ke Pakistan jika perlu, tetapi buat masa ini, Witkoff dan Kushner akan ke sana terlebih dahulu untuk melaporkan perkembangan kepada presiden, naib presiden dan anggota pasukan yang lain.

“Presiden Trump mempunyai pilihan ketenteraan yang sentiasa dikekalkannya secara bijak sebagai panglima tertinggi, namun buat masa ini, diplomasi diharap dapat diteruskan dan kita akan sampai ke tahap yang memenuhi garis merah presiden.

“Kita sememangnya melihat beberapa kemajuan daripada pihak Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini,” kata Leavitt kepada pemberita di Rumah Putih.

Sementara itu dalam catatan di X pada Rabu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi – yang mewakili Iran dalam rundingan dengan AS – dijadual memulakan lawatan serantau pada petang Jumaat, bermula di Pakistan sebelum meneruskan perjalanan ke Oman dan Rusia.

Islamadab mempergiat usaha untuk menghidupkan semula pusingan kedua rundingan antara Iran dan AS.

Sumber berkata perbincangan dengan Tehran boleh membuka laluan kepada rundingan baru susulan rundingan pusingan pertama diadakan di Islamabad pada 11 hingga 12 April.

Rundingan itu diadakan selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang kemudiannya dilanjutkan oleh Trump tanpa tempoh masa tertentu.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan berterusan sejak tercetusnya perang pada 28 Feb, dengan usaha tertumpu kepada pencapaian perjanjian lebih menyeluruh bagi menamatkan permusuhan.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS