Lebih 130 orang dilapor mengadakan mogok lapar di seluruh negara, bagi menuntut supaya tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan dan akta tersebut dimansuhkan.

Antara mereka menyertai mogok lapar selama seminggu itu ialah lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah ISA di Kamunting, Perak.

Mereka menyertai sekurang-kurangnya 21 orang yang mengadakan mogok lapar di sebuah kuil di Ipoh, manakala 108 orang lagi di Kuil Sri Subramaniam di Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut beberapa sumber Hindraf, mogok lapar itu juga diadakan di sebuah kuil di Petaling Jaya serta di Pulau Pinang.

Mogok lapar itu, kata seorang penyokong Hindraf yang mengenalkan dirinya sebagai ‘Suzy’, adalah khusus untuk perbicaraan permohonan habeas corpus oleh ‘Hindraf 5' pada 24 Januari ini, terhadap penahanan mereka di bawah ISA.

Katanya, bergantung kepada perkembangan selepas itu, mogok lapar itu mungkin diteruskan sehingga 28 Januari.

“Sepanjang mogok lapar tersebut, mereka hanya akan minum air sejam sekali," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, ramai dijangka menyertai mereka yang sedang melancarkan mogok lapar itu.

Awal hari ini, Penyelaras Hindraf, RS Tharendran berkata pihaknya bimbang dengan kesihatan salah seorang tahanan ISA - P Uthayakumar - yang menghidap kencing manis tetapi turut menyertai mogok lapar tersebut.

Rayuan kepada Pak Lah

Beliau merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang menandatangani perintah tahanan ISA - supaya membebaskan mereka.

ISA membolehkan mereka ditahan tanpa bicara.

Hindraf berharap Abdullah “akan bertindak atas sifat kemanusiaan untuk membebaskan mereka,” kata Tharendran di Putrajaya selepas menyerahkan surat kepada Perdana Menteri yang ditulis oleh anak saudara Uthayakumar yang berusia lima tahun, Vwaishhnnavi.

Vwaishhnnavi adalah anak perempuan Pengerusi Hindraf Waythamoorthy, yang kini tinggal di UK untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan pergerakan itu.

Abdullah akan bertanggungjawab jika sesuatu yang tidak diingini berlaku terhadap Uthayakumar, kata Tharendran.

Uthayakumar ditahan di bawah ISA bersama dengan empat lagi pemimpin Hindraf - M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasantha Kumar selepas kerajaan menuduh mereka mengancam keselamatan negara.

Mereka bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menuduh kerajaan hanya mahu menumpaskan usaha mereka berjuang supaya masyarakat India mendapat hak mereka dan diberi layanan yang lebih baik.

Pada 25 November tahun lalu, Hindraf menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur yang disertai oleh kira-kira 30,000 kaum India kerana membantah peminggiran dan diskriminasi terhadap masyarakat tersebut. Berita asal