Parti pembangkang, DAP, hari ini mendedahkan nama 35 pengundi yang berusia lebih 100 tahun, termasuk yang lahir pada tahun 1880, dalam senarai pemilih di Petaling Jaya Utara (PJU) yang diwartakan dalam suku tahun ketiga tahun lalu.

“Setengah daripada mereka dilahirkan pada tahun 1880, dan ia bermakna mereka berusia 128 tahun. Saya percaya ada antaranya yang telahpun meninggal dunia, tetapi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih boleh membuang nama mereka," kata Penasihat Ekonomi DAP, Tony Pua.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau juga menunjukkan kepada pemberita senarai 21 alamat yang masing-masing mempunyai 20 orang pengundi berdaftar.

Pua menjelaskan, ia mungkin kerana mereka yang telah berpindah dari alamat tersebut, tidak memaklumkannya kepada SPR untuk dikemaskini.

“Terdapat lebih daripad 20 orang dalam sebuah rumah. Ia jelas satu kesilapan, dan SPR mesti menyiasatnya," kata beliau.

Menurut Pua, terdapat juga 1,358 daripada 76,193 pengundi di PJU yang tidak mempunyai alamat kediaman yang lengkap.

“Ini membuat individu terbabit sukar dikesan kerana mereka tidak mempunyai nombor rumah. Mungkinkah mereka ini pengundi hantu yang dibawa masuk oleh Umno?" soalnya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San juga berkata, SPR melakukan terlalu banyak kesilapan maklumat dan ini menimbulkan masalah kepada pengundi berdaftar.

Kesilapan maklumat

Katanya, beliau menerima aduan- dari penduduk Seksyen 20 PJ bahawa mereka didaftar untuk mengundi di dua kawasan berlainan.

“Seorang telah disenaraikan mengundi di Seksyen 20 Shah Alam manakala yang lainnya di SS20 PJ. Ini jelas kesilapan memasukkan maklumat.

“Mengapakah SPR menjadi begitu tidak cekap? Kita perlu senarai pemilih yang bersih dan dikemaskinikan," katanya.

Lau juga membangkitkan isu di mana 232 yang mendaftar melalui pondok DAP pada bulan Ogos 2006 hingga Disember 2007 belum lagi dimasukkan ke dalam senarai pemilih yang telah dikemaskini.

Kecacatan dalam senarai pemilih terus menjadi isu-isu yang terus menerus dipersoalkan oleh pihak pembangkang.

Sementara itu, spekulasi terus dibuat mengenai bila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan tarikh pilihanraya umum.

Para pemerhati meramalkan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat ini ekoran semua jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) telahpun digerakkan.

Semalam, Abdullah secara terbuka mengakui bahawa BN tidak mampu mengulangi kemenangan besarnya dalam pilihanraya umum 2004. Berita asal