Suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam hari ini menolak permohonan peguam Datuk VK Lingam untuk membuang keterangan berhubung percutiannya bersama dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin pada Disember 1994.

Suruhanjaya tersebut sebulat suara membenarkan keterangan itu diterima mengenai hubungan peribadi antara Lingam dan Eusoff, dalam siasatan tersebut.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor (foto), selepas menimbang hujah para peguam, suruhanjaya itu berpendapat bahawa lima terma rujukannya dibaca bersama subjek dalam video tersebut.

Katanya, siasatanitu akan berkisar di sektair orang-orang yang terbabit dalam pengaturan pelantikan hakim-hakim terutama dalam kontek klip video tersebut.

Lingam telah memohon kepada suruhanjaya tersebut untuk membuang keterangan berhubung percutian tersebut atas alasan ianya 'tidak relevan'.

Para peguam bagaimanapun berhujah ianya relevan dengan lima terma rujukan suruhanjaya tersebut.

Sebelum keputusan itu diumumkan, peguam yang mewakili Majlis Peguam, Robert Lazar dibenar meneruskan soalan mengenai hubungan Lingam dengan Eusoff dan percutian mereka ke New Zealand pada 1994.

'Terserempak'

Sepertimana keterangan Eusoff sebelum ini, Lingam memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa beliau terserempak dengan Eusoff Chin di Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Apabila disoal berdasarkan kepada jadual perjalanan Eusoff, Lingam tidak menafikan beliau melawat beberapa tempat di Auckland bersama Eusoff dan keluarganya - termasuk zoo dan taman burung di mana mereka bergambar bersama.

Lingam juga mengesahkan mereka menaiki penerbangan yang sama ke Christchurch dan Queenstown di New Zealand serta penerbangan pulang ke Kuala Lumpur melalui Singapura tetapi berkata mereka tinggal di tempat penginapan yang berasingan.

Lingam bagaimanapun menolak kenyataan Eusoff bahawa beliau "mengikut" bekas Ketua Hakim Negara itu sepanjang percutian tersebut, dan berkata: "Saya mahu menjelaskan bahawa saya tidak mengikut beliau. (Keluarga) kami mempunyai program masing-masing. Tun Eusoff mempunyai programnya sendiri.”

Bagaimanapun Lingam kemudiannya mengakui bahawa beliau meminta untuk menaiki van dengan Eusoff ke Queenstown.

Lingam: Saya tidak kata perjalanan dengan van itu telah diatur sebelumnya. Apa yang saya kata ialah perjalanan saya ke Queenstown telah diatur lebih awal dan secara kebetulan beliau juga hendak ke Queenstown dan beliau menyewa sebuah van, jadi saya bertanya sama ada saya boleh ikut bersama dan kami berkongsi perbelanjaannya.

Lingam juga berkata, beliau juga telah menempah hotel dan penerbangannya lebih awal untuk keluarganya dan pengawal peribadinya, Tan Chong Paw yang mengikut mereka sepanjang percutian lapan hari tersebut.

Bila tanya bila dan ejen mana yang menguruskan perjalanannya, Lingam dengan tenang berkata, beliau tidak ingat.

Lingam yang nampaknya seperti sudah boleh mengagak soalan dari Lazar, menjelaskan mungkin dua ejen pelancongan yang terbabit.

Lazar: Bolehkah anda mengingati ejen yang menguruskan percutian anda?

Lingam: Saya tidak ingat ejen pelancongan itu tetapi berdasarkan kepada tiket, tiket saya ditempah dari Udara Travels and Tours Sdn Bhd dan nampaknya bukan dari Holiday Tours and Travels Sdn Bhd.

Lazar: Anda dapat mengagak soalan saya. (Hadirin ketawa)

Lazar: Jadi anda mengatakan ejen anda bukan Holiday Tours?

Lingam : Apa yang saya katakan itu berdasarkan kepada tiket, (ianya adalah) Udara Travels and Tours Sdn Bhd tetapi mungkin juga pembayarannya dibuat kepada syarikat yang lain.

Haidar: Anda tunggu soalan dikemukakan terlebih dahulu.

Lingam: Baiklah.

Lazar: Mungkin anda membuat tempahan bagi perjalanan itu melalui satu ejen dan tiketnya dikeluarkan oleh orang lain?

Lingam: Mungkin.

Lazar menunjukkan salinan cek kepada Holiday Tours and Travel, yang ditandatangani oleh Lingam - ejen pelancongan yang sama yang mengeluarkan jadual perjalanan Eusoff bertarikh 21 Disember 1994, sehari sebelum percutian ke New Zealand itu.

Lazar: Sekarang anda telah melihat cek tersebut, jadi adakah anda boleh mengatakan bahawa ejen anda adalah Holiday Tours and Travel.

Lingam: Ianya betul.

Lazar: Anda sekarang mengesahkan bahawa Holiday Tours and Travel adalah ejen percutian anda ini?

Lingam: Ianya betul.

Lingam juga menafikan cadangan Lazar bahawa jadual perjalanannya mungkin telah disediakan bersama-sama dengan rancangan perjalanan Eusoff.

Jadual perjalanan Eusoff yang dialamatkan kepada Rohani/Jeyanti, telah dikemukakan kepada suruhanjaya diraja itu sebelum ini.

Ketika Eusoff memberi keterangan minggu lalu, beliau mengesahkan Rohani adalah setiausahanya tetapi tidak mengenali Jeyanthi.

Hari ini, dalam keterangannya, Lingam berkata Jeyanthi adalah setiausahanya.

Lazar: lihat pada (jadual perjalanan), faksimili tersebut dialamatkan kepada Rohani / Jeyanthi. Tun Eusoff Chin dalam keterangannya berkata Rohani adalah atau bekas setiausahanya, tetapi beliau tidak kenal siapa Jeyanthi. Bolehkah anda fikirkan sebarang sebab mengapa tercatat nama Jeyanthi?

Lingam: Saya tidak dapat fikir sebarang sebabnya, terdapat ramai wanita India bernama Jeyanthi, Saya tidak pernah melihat dokumen ini sebelum ini. Ia pertama kali ditunjukkan kepada saya oleh BPR pada 1998 ketika mereka menyiasat, saya beri jawapan yang sama, saya tidak pernah melihatnya walaupun saya mempunya setiausaha yang bernama Jeyanthi.

Lazar: Bolehkah saya cadangkan kepada anda bahawa sebab terdapatnya nama Jeyanthi di situ ialah kerana percutian ini telah dirancangkan untuk anda dan Eusoff Chin.

Lingam: Itu tidak benar.

Sepanjang disoal selama sejam, Lingam tetap bertegas bahawa percutian itu merupakan satu kebetulan.

Lazar: Adakah anda memberitahu suruhanjaya ini bahawa ianya satu kebetulan yang Eusoff dan anda menggunakan ejen yang sama, jadual perjalanan meliputi lokasi yang sama dan tarikh penerbagnan yang sama.

Lingam: Tiada yang luar biasa mengenainya. Ianya bukan dirancang terlebih dahulu. Ianya satu kebetulan.

Lazar: Dan anda bertemu dengan Tun Eusoff Chin di lapangan terbang Changi secara kebetulan?

Lingam: I tu betul.

Lazar: Selain New Zealand, adakah lagi percutian yang anda and Eusoff Chin pergi bersama, secara kebetulan atau dirancang?

Lingam: Tidak ada.

Tolak penga turan kes

Selasa lalu, Majlis Peguam berhujah bahawa suruhanjaya tersebut menyiasat bukan sahaja mengenai dakwaan pengaturan pelantikan hakim, tetapi juga pengaturan penghakiman.

“Pengaturan kes adalah bersekali dengan pengaturan pelantikan hakim. (Kita) tidak boleh memisahkan (isu-isu ini)," hujah Lazar.

Lazar juga menyoal Lingam mengenai kes-kes yang dikendalikannya yang didengar oleh Eusoff di sekitar masa percutian ke New Zealand, termasuk kes saman fitnah terhadap MGG Pillai di mana mahkamah memerintahkan gantiruginya sebanyak RM10 juta dibayar kepada ahli perniagaan Tan Sri dianugerahkan Vincent Tan dan yang lainnya.

Lazar juga cuba menyoal Lingam mengenai satu lagi kes yang membabitkan Insas Bhd dan Ayer Molek Sdn Bhd sebelum anggota suruhanjaya melarang beliau meneruskanya.

Mereka bertanya Lazar tujuannya membangkitkan kes-kes tersebut. Jawabnya, kes-kes tersebut berpotensi menunjukkan berlaku salahlaku.

Mahadev: Ia tiada sebarang kaitan dengan pelantikan hakim-hakim pada 2001. Fokus utama kita ialah perbualan yang membabitkan saksi dan dikatakan Tun Ahmad Fairuz. Itulah fokus siasatan ini. Sekarang anda sudah berbalik hingga 1995..."

Lazar: Kita (menjadikan) kes-kes ini untuk menyokong kenyataan bahawa (dalam merujuk kepada perbualan tersebut) "Bila Tun Tun Eusoff Chin ada kuasa, saya boleh terus mendapatkan...."

Mahadev: Jadi, kita telah sampai ke “Pom! Pom! Pom!” (hadirin ketawa)

Ketika itulah siasatan suruhanjaya itu ditangguhkan sekejap untuk memutuskan sama ada hendak diterima butir-butir mengenai percutian ke New Zealand dan kes-kes yang dibangkitkan oleh Lazar.

Haidar kemudiannya mengumumkan bahawa siasatan tersebut menerima butir-butir percutian ke New Zealand tetapi bukan dakwaan berlakunya pengaturan kes-kes seperti yang dicadangkan oleh Majlis Peguam.

Keputusan itu dibuat sebelum peguam Eusoff yang baru, menyampaikan hujah-hujah mereka sama ada butir-butir mengenai percutian tersebut relevan kepada siasatan tersebut.

Zamani Ibrahim, yang mewakili Eusoff, memberitahu anggota suruhanjaya tersebut bahawa mereka sedang menyediakan hujah untuk dikemukakan pada hari Jumaat.

Peguam Eusoff kemudiannya diminta menyatakan pendirian mereka atau sama dengan hujah-hujah dari peguam-peguam yang lain Selasa lalu untuk membolehkan siasatan itu diteruskan.

“Pendirian kami sama dengan Thayalan (peguam Lingam) dan Kamarul Hisham (Kamaruddin, peguam Ahmad Fairuz),” kata Zamani.

Tidak jelas sama ada peguam Eusoff akan mengemukakan hujah mereka pada hari Jumaat tetapi berkata mereka akan membangkitkan isu berhubung "fakta-fakta tidak betul" dalam transkrip tersebut. Berita asal