Aminuddin Harun berkata, dia akan terus berkhidmat seperti biasa di sebalik tindakan 14 Adun Umno sudah menarik sokongan mereka daripadanya selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.
Katanya, dia telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan dititahkan untuk terus mentadbir selagi belum ada "kejelasan muktamad" seperti usul undi tidak percaya dalam dewan undangan negeri (DUN).
"Setelah melalui pertimbangan wajar, Tuanku nasihat dan menitahkan agar saya menjalankan tanggungjawab sebagai menteri besar selagi belum ada kejelasan muktamad.
"Kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa, kepentingan rakyat jadi keutamaan.
"Itu titah Tuanku, perkara itu masih belas jelas. Kerajaan minoriti boleh jalankan tanggungjawab," katanya dalam sidang media di kediaman rasminya di Seremban petang ini.
Terdahulu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, mengumumkan mereka menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin Harun dan hilang kepercayaan terhadap Adun Sikamat berkenaan.
Dia memberitahu surat rasmi akan dihantar kepada Speaker DUN Negeri Sembilan dan setiausaha kerajaan negeri.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami mendukung penuh serta mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan dan mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran negeri sekaligus dapat memberikan fokus kepada objektif kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.
Terima apa saja keputusan
Susulan itu, PN kemudian mengumumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan.
Kelima-lima Adun PN di Negeri Sembilan mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Seremban.
PN mempunyai lima Adun dalam DUN Negeri Sembilan iaitu tiga daripada PAS (Kamarol Ridzuan Mohd Zain, Paroi; Abdul Fatah Zakaria, Bagan Pinang; dan Mohd Fairuz Mohd Isa, Serting).
Dua lagi mewakili Bersatu iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) Ridzuan Ahmad (Gemas).
Aminuddin berkata dia memang terkejut dengan tindakan yang diambil oleh Adun Umno itu kerana hubungan mereka sebelum ini tidak bermasalah.

Malah katanya, Umno sendiri yang meminta supaya persidangan DUN ditangguhkan baru-baru ini.
"Empat exco jumpa saya meminta persidangan ditangguhkan... permintaan daripada BN (Umno) sendiri dan kita setuju tangguh," katanya lagi.
Ditanya mengenai kedudukan empat exco dari BN itu, Aminuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Jelasnya, krisis ini juga tidak akan membawa kepada pembubaran DUN, namun dia sedia berdepan dengan undi tidak percaya di DUN.
"Belum ada pandangan tersebut (bubar DUN), bukan mudah dalam situasi sekarang.
"Patut dia (Adun Umno) bawa usul undi tidak percaya. Saya terima apa sahaja keputusan.
"Kita akan teruskan pentadbiran kepada rakyat, kita yakin mampu tadbir negeri, sebab yang menarik sokongan adalah mereka (Umno)," katanya.
