Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman membayar ganti rugi RM250,000 kepada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam kes saman fitnah berhubung hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu selaku plaintif terhadap Aliff Syukri sebagai defendan.
Mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Abdul Kadir.
"Defendan sama ada pegawai atau ejennya dihalang menerbitkan, menyebabkan diterbitkan perkara diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan sama. Defendan sama ada melalui khidmat atau ejennya menghapuskan libel (fitnah bertulis) yang diterbitkan terhadap plaintif daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada perintah ini.
"Defendan juga perlu memberi aku janji bertulis bahawa defendan tidak akan menyebabkan atau menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif," kata Hakim Roslan.
Hakim Roslan dalam penghakimannya berkata maruah serta nama baik seseorang adalah sesuatu amat berharga dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta.
"Plaintif seorang ahli politik tanah air yang terlibat dalam arena politik begitu lama. Beliau pernah dilantik menganggotai Kabinet Persekutuan, pernah memegang jawatan menteri di beberapa portfolio sebelum bersara dan terlibat dalam bidang perniagaan, selain masih terlibat dalam aktiviti parti siasah sehingga kini.
"Defendan pula seorang pempengaruh yang terkenal dan mempunyai jutaan pengikut di media sosial. Beliau juga terlibat dalam bidang perniagaan," katanya.
Hakim Roslan berkata mahkamah berpendapat terdapat saluran undang-undang yang terbuka untuk defendan mengemukakan tuntutan hutang atau sebarang hak kepada plaintif sekali gus membolehkan tuntutan tersebut diputuskan menurut peruntukan undang-undang.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 Sept 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 Nov 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji diberikan plaintif kepadanya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri.
- Bernama
