Peguam Datuk VK Lingam memberitahu suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video mengenai pelantikan hakim bahawa terpulang kepadanya untuk "berpura-pura" bercakap dengan sesiapa sahaja yang dia suka.

“Saya boleh pilih tajuk yang sama suka. Malah, saya boleh berpura-pura bercakap dengan Presiden Bush kalau saya mahu," katanya.

Apabila ditanya oleh peguam yang mewakili Majlis Pegua, Ranjit Singh mengapa beliau memilih untuk berbual melalui telefon mengenai pelantikan hakim yang dirakam secara rahsia pada 2001, Lingam berkata beliau mengarut apa sahaja di rumahnya.

“Ia (perbualan itu) adalah di rumah saya. Rumah saya adalah kota saya. Saya rajanya. Saya boleh mengarut apa saja di rumah saya," katanya.

Apabila diasak berulangkali mengapa beliau memberitahu ahli perniagaan Loh Mui Fah bahawa beliau bercakap dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Lingam berkata, beliau tidak ingat memberitahu perkara itu kepada Loh.

Malah, katanya, jika beliau berkata demikian sekalipun, beliau hanya cakap untuk menunjuk-nunjuk sahaja.

Minggu lalu, Loh memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa beliau berada di rumah Lingam apabila perbualan tersebut dirakamkan.

Menurut Loh, apabila ditanya dengan siapa dia bercakap, Lingam memberitahunya, orang itu adalah Ahmad Fairuz.

Anaknya, Gwo Burne juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa dia yang merakam perbualan telefon Lingam tersebut.

Dalam keterangannya sebelum ini, Lingam tidak dapat menyatakan sama ada lelaki yang berbual melalui telefon dalam klip video tersebut adalah beliau.

Sebaliknya, Lingam memberitahu suruhanjaya siasatan diraja itu bahawa orang berkenaan "nampak seperti saya, suaranya macam saya". Berita asal