Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala perbelanjaan teras - termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan - diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan peruntukan bagi kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan tidak terjejas kerana kedua-duanya merupakan antara penerima peruntukan tertinggi dalam belanjawan tahun ini.
MOF menjelaskan pelarasan perbelanjaan itu melibatkan langkah seperti penangguhan penganjuran acara, mengehadkan kunjungan dan latihan ke luar negara, penjimatan utiliti, pengoptimuman rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.
“Selaras dengan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab, langkah pelarasan ini dilaksanakan mengikut keutamaan penting bagi mewujudkan ruang fiskal untuk membiayai bantuan dan subsidi bersasar bagi melindungi golongan serta sektor rentan yang terkesan akibat krisis bekalan global,” katanya.
MOF menambah mereka akan terus melaksanakan langkah secara proaktif dan berstruktur bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan, sekali gus memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi krisis bekalan global yang dijangka memberi kesan besar dan berpanjangan kepada ekonomi negara.
Pada masa sama, MOF memberitahu kementerian berkenaan komited memperkukuh keupayaan tindak balas krisis melalui pendekatan seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi serta kedudukan kewangan negara terus kukuh.
- Bernama
