Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BDR: Kerajaan jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam 10 hari

Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) mula menunjukkan impak yang signifikan apabila berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaannya sejak 15 April lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penjimatan itu melibatkan 120,816 liter petrol atau RM239,215.68 sehari.

“Walaupun mungkin angka itu tidak besar tapi saya melihat ia adalah sumbangan yang signifikan daripada penjawat awam untuk membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis di Timur Tengah (Asia Barat),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur di Taman Ria, Sri Lalang, di Kluang hari ini.

Setakat hari ini sebanyak 20,136 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan BDR, berbanding 15,452 pada 15 April lepas.

Beliau berkata pelaksanaan BDR tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat, memandangkan ia hanya melibatkan tugasan yang tidak perlu dilakukan di pejabat.

“(Bagaimanapun) buat masa ini BDR tidak dilaksanakan pada Isnin kerana kita nak bagi tugasan kepada penjawat awam yang akan BDR dan pada Jumaat pula adalah untuk penilaian produktiviti kerja,” katanya.

BDR telah dilaksanakan di beberapa negara sejak penularan jangkitan COVID-19 yang lepas termasuk Singapura, dengan pemantauan produktiviti kerja serta indeks prestasi utama (KPI) dapat dinilai oleh ketua masing-masing.

Pelaksanaan BDR ialah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat, dengan pelaksanaan tiga hari seminggu.

Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan menziarahi rumah tiga pesara yang uzur termasuk seorang bekas Juru X-ray di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Md Suli Daud, 70, yang lumpuh dan terlantar.

Md Suli menerima sumbangan barangan keperluan harian dan katil khas, sementara dua lagi penerima menerima sumbangan bakul makanan dan kerusi roda elektrik.

Program itu bertujuan menziarahi pesara yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan yang sentiasa prihatin dengan golongan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS