Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wujud unsur salah guna harta kerajaan Perlis oleh Azlan Man - saksi

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa wujud unsur salah guna harta milik Kerajaan Negeri Perlis apabila Datuk Seri Azlan Man menerima wang hasil pembatalan pakej pelancongan ke luar negara bagi perjalanan yang tidak berlaku.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) M. Theenmoly berkata hasil siasatan mendapati bekas Menteri Besar Perlis itu, melalui Setiausaha Sulit Kanannya, Herwardy Hashim telah mengarahkan agensi Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd untuk membatalkan tempahan perjalanan berkenaan.

"Datuk Seri Azlan Man kemudian membuat tuntutan terhadap wang yang telah dibayar daripada pihak Kerajaan Negeri Perlis, dan duit itu dimasukkan ke dalam akaun banknya," kata saksi pendakwaan ke-20 itu pada perbicaraan kes Azlan yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Beliau berkata atas arahan Azlan, kedua-dua agensi pelancongan memulangkan semula wang percutian yang dibatalkan berjumlah RM1.06 juta ke dalam akaun bank milik Azlan menerusi empat keping cek dan wang tunai antara 14 Feb 2014 hingga 24 Jan 2017.

"Siasatan saya berdasarkan keterangan dokumen seperti pesanan tempatan, penyata bank kedua-dua pihak dan keterangan saksi... justeru, saya mendapati terdapat keterangan yang menunjukkan Datuk Seri Azlan Man telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram iaitu pembatalan pakej percutian ke luar negara,” katanya.

Theenmoly berkata berdasarkan keterangan Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Norazlan Yahya, tiada sebarang kertas pertimbangan dibentang untuk mendapatkan kelulusan penggantian kemudahan cuti seberang laut yang diluluskan Azlan kepada wang tunai bagi tahun 2013 hingga 2017.

"Berdasarkan siasatan saya, Datuk Seri Azlan Man tidak boleh memilih dibayar tunai bagi (kemudahan) cuti seberang laut Kuala Lumpur ke London dan hotel penginapan bagi tahun 2013 hingga 2017," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah mengenai pengesahan perjalanan yang tidak berlaku, saksi itu berkata maklumat berkenaan diperoleh daripada kedua-dua agensi pelancongan.

Theenmoly berkata agensi terbabit memaklumkan bahawa tertuduh membatalkan perjalanan pada tarikh yang telah disahkan atas alasan ingin menguruskannya sendiri selain meminta wang berkenaan dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

"Agensi pelancongan itu juga mengesahkan tiada pembelian tiket bagi tuntutan percutian seberang laut Datuk Seri Azlan Man bagi tahun 2014 hingga 2017," katanya yang kini berkhidmat sebagai pegawai penyiasat di Unit Integriti Kementerian Belia dan Sukan.

Menjawab soalan peguam Burhanudeen Abdul Wahid, Theenmoly berkata tiada keperluan untuk menyiasat pasport tertuduh kerana siasatan telah diperkukuh dengan dokumen permohonan cuti, pesanan tempatan, sebut harga dan invois.

Azlan, 67, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois daripada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau juga didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur.

Selain itu, Azlan berdepan lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Jun ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS