Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan dapat mengusahakan saluran diplomatik bagi membantu 10 rakyat Malaysia yang dilaporkan ditahan ketika menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0.
Ahmad Zahid berkata seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kumpulan berkenaan dan berharap mereka diberi perlindungan.
“Yang pertamanya kita mendoakan, dan rakyat Malaysia keseluruhan mendoakan agar Allah Taala memberikan perlindungan dan misi mereka selamat.
“Biarpun mereka ditahan, kita tahu inilah cabaran yang pasti akan dihadapi dan kita harapkan agar mereka mempunyai daya tahan dan kecekalan untuk menterjemahkan niat itu hingga sampai ke destinasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID di Putrajaya, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan 10 rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Zahid berkata dia juga akan meminta Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan meneliti perkara itu.
Menurutnya, hubungan baik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan negara-negara sahabat juga boleh dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.
“...mungkin usaha diplomatik dapat diikhtiarkan supaya bukan saja mereka dipermudahkan untuk sampai ke destinasi bagi menghantar bantuan, tetapi setelah misi ini selesai, mereka akan dapat dibebaskan,” katanya.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) hari ini mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata misi itu secara keseluruhannya melibatkan 63 kapal, namun 22 kapal sahaja dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung melibatkan 186 aktivis.
Sany berkata kejadian itu berlaku pada 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia (6 petang hingga 4 pagi waktu Greece), dengan kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Zionis sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
