Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan seksual: Ebit diarah bela diri atas 11 pertuduhan
Diterbitkan:  Apr 30, 2026 8:20 PM
Dikemaskini: May 1, 2026 1:19 AM

Mahkamah Majistret Tenom di sini hari ini memerintahkan Ebit Irawan Lew, atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, membela diri atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Majistret Nur Asyraf Zolhani berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit, 41.

“Setelah meneliti dan menilai dengan penilaian positif kredibiliti dan kebolehpercayaan kesemua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak serta di atas penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan pihak pendakwaan, mahkamah ini mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan ke atas tertuduh,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 18 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes yang bermula pada Sept 2022.

Ebit didakwa melakukan kesemua kesalahan itu - termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa - melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 13 hingga 16 Okt ini untuk Ebit membela diri.

Peguam Ram Singh yang mewakili Ebit memaklumkan mahkamah, pihak pembelaan akan memanggil antara tujuh hingga 10 saksi.

“Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab. Selain Ram Singh, Lew turut diwakili Kamarudin Mohmad Chinki serta Timothy Daut.

Sementara itu, Ram Singh berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah.

"Kita berharap kes ini akan segera selesai kerana ia telah berlanjutan selama lebih empat tahun," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS