Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng sifatkan Umno, BN rakan tidak boleh dipercayai
Diterbitkan:  May 5, 2026 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Penasihat DAP Lim Guan Eng menyifatkan Umno dan BN sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan dan menggesa rakyat untuk menolak mereka pada pilihan raya akan datang.

Merujuk percubaan Umno Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menggulingkan Menteri Besar Aminuddin Harun, anggota parlimen Bagan itu berkata, ia membuktikan gabungan tersebut sanggup mengketepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.

"Jelas sekali BN dan Umno telah menunjukkan diri mereka sebagai rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan.

"Percubaan rampasan kuasa mereka di DUN Negeri Sembilan dengan menarik balik sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap menteri besar yang sah dan bekerjasama dengan Adun PN (Perikatan Nasional) untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri Negeri Sembilan adalah satu contoh nyata," katanya dalam satu kenyataan.

Satu lagi, kata Lim, adalah kenyataan yang sering disebut bahawa BN dan Umno akan bergerak secara bersendirian atau solo pada pilihan raya umum akan datang menentang PH walaupun mereka bekerjasama dan memegang jawatan kabinet utama dalam kerajaan perpaduan.

"Tikaman dari belakang yang berulang kali terhadap PH oleh BN dan Umno ini jelas menunjukkan bahawa mereka harus terus ditolak oleh rakyat," katanya.

Dalam satu temu bual pada 2 Mei lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan berkemungkinan besar BN akan bergerak solo namun pada masa sama mempunyai "persefahaman" dengan parti-parti lain.

"Kita telah pun solo selama ini, dalam PRU ke-14 dan ke-15. Dalam situasi akan datang, kemungkinan besar kita akan solo.

"Namun, kita perlu mengambil kira persefahaman dengan parti lain, terutama bagi mengelakkan pertindihan kerusi dan persaingan tiga penjuru," katanya yang juga adalah pengerusi BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS