Penguasa kanan SPRM beritahu mahkamah wang tunai RM3.3 juta itu diberikan kepada Lim Guan Eng itu secara berperingkat bukan dimasukkan atau dipindahkan ke akaun bank miliknya.
Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa siasatannya terhadap kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng tidak terjejas meskipun tiada jejak wang dalam kes itu.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli berkata ini kerana wang berjumlah RM3.3 juta yang diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah berperingkat secara tunai bukan dimasukkan atau dipindahkan ke akaun bank miliknya.
"Bagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan siasatan saya kerana ia disokong keterangan saksi utama, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli iaitu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) serta disokong saksi lain, (Datuk Seri) G.Gnanaraja (ahli perniagaan), Azli Adam (bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd) dan Ibrahim Sahari (bekas pengarah CZCSB).
"Kesemua mereka mengesahkan terdapat pengeluaran wang tunai dan pertemuan antara Zarul Ahmad serta tertuduh di pejabatnya. Saya juga menyiasat berdasarkan dokumen saya peroleh yang mana terdapat pertemuan dalam kereta antara Zarul Ahmad, Gnanaraja dan tertuduh selain ia disokong oleh laporan forensik melalui gambar di dalam kereta dan rumah," katanya.
Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes tersebut.
Ditanya Wan Shaharuddin, mengapa SPRM masih memilih Gnanaraja sebagai saksi dalam kes itu walaupun pihak pembelaan menyatakan terdapat percanggahan kenyataan antara Gnanaraja dengan Zarul Ahmad.
"Saya mengambil kira kenyataan Gnanaraja berkaitan pemberian wang RM2 juta kepada tertuduh yang mana kenyataan itu disokong keterangan Zarul Ahmad. Kita boleh lihat dalam kenyataan Zarul Ahmad pada hujung 2019, beliau mengakui dan sahkan terdapat pemberian empat beg masing-masing berisi wang RM1 juta kepada Gnanaraja.
"Saya juga mengambil kira keterangan direkodkan Gnanaraja pada sekitar pertengahan 2020 yang mana selari iaitu Gnanaraja mengaku menerima empat beg masing-masing berisi RM1 juta dan jumlah diterima daripada Zarul Ahmad berjumlah RM4 juta," jawab Zulhilmi.
Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Mei ini.
- Bernama
