Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekhuatiran baginda sekiranya pembayar zakat beranggapan tiada lagi golongan fakir dan miskin di negeri itu sehingga boleh menjejaskan jumlah kutipan.
Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah masih terdapat pertambahan kemiskinan baru di Selangor, dengan kira-kira 14,000 keluarga dikategorikan sebagai fakir dan miskin berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) tahun lalu.
“Justeru, baginda tidak mahu ada pihak yang salah faham atau keliru dengan kenyataan mendakwa tiada lagi kemiskinan tegar di Selangor, walhal masih ada penerima zakat yang dikategorikan sebagai fakir dan asnaf.
“Penentuan status asnaf oleh Zakat Selangor dibuat berdasarkan pengiraan had kifayah,” menurut hantaran itu.
Ia menambah, peningkatan bilangan asnaf baru didorong oleh usaha proaktif Zakat Selangor memperkukuh proses penilaian, pengesanan dan peluasan capaian bantuan kepada keluarga yang layak.
Pada masa sama, lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan.
Dalam hantaran itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan sukacita baginda kepada prestasi Zakat Selangor yang merekodkan agihan sebanyak RM1.33 bilion pada tahun lalu.
Dairpada jumlah itu lebih 60 peratus disalurkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh negeri.
“Baginda mahu agar agihan zakat terus difokuskan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan dan sokongan pendidikan.
“Baginda juga berharap Zakat Selangor terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras dengan tuntutan syariat Islam,” katanya.
- Bernama
