Tentera Amerika Syarikat (AS) pada pagi Rabu menyerang dan melumpuhkan sebuah kapal tangki minyak tanpa muatan berbendera Iran yang belayar menuju ke sebuah pelabuhan Iran, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM) di X, lapor Xinhua.
Serangan itu berlaku pada 9 pagi Waktu Timur AS pada Rabu ketika kapal Hasna sedang melalui perairan antarabangsa dan dalam perjalanan ke sebuah pelabuhan Iran di Teluk Oman, menurut CENTCOM dalam satu kenyataan.
“Selepas kru Hasna gagal mematuhi amaran berulang kali, tentera AS melumpuhkan kemudi kapal tangki itu dengan melepaskan beberapa das tembakan daripada meriam 20mm pesawat F/A-18 Super Hornet Tentera Laut AS yang dilancarkan dari USS Abraham Lincoln (CVN 72),” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Hasna tidak lagi meneruskan pelayaran ke Iran.
CENTCOM berkata sekatan AS terhadap kapal yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran kekal berkuat kuasa sepenuhnya.
Sehari sebelum itu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan menerusi Truth Social bahawa beliau menghentikan misi Pentagon untuk mengiringi kapal komersial keluar dari Selat Hormuz, namun mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran.
- Bernama-Xinhua
