Penganjur perhimpunan aman membantah kegagalan kerajaan membendung kadar inflasi di KLCC petang esok berkata ia akan diteruskan walaupun pihak polis telah mengeluaran amaran melarang orang rasmi menghadirinya.

Setiausaha Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) Dr Hatta Ramli berkata, perhimpunan esok akan diteruskan kerana pihak penganjur percayai mereka mempunyai hak perlembagaan untuk berbuat demikian.

“Kita akan meneruskan perhimpunan tersebut dan kita jamin, di pihak kita, ianya akan diadakan secara aman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Protes berharap dapat menghimpunan 3,000 orang dekat Menara Kembar KLCC untuk membantah kegagalan kerajaan membendung inflasi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman memberi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak menahan mereka yang menyertai perhimpunan tersebut mengikut Seksyen 27 (8) Akta Polis.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, mereka yang didapati bersalah di bawah akta tersebut boleh dikenakan denda maksima RM10,000 dan hukuman penjara maksima setahun.

Bagaimanapun, menurut Zulkarnain Protes telah menghantar melalui faks satu nota kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk memaklumkan kepada pihak polis niat mereka untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan itu.

Beliau berkata polis juga akan menutup jalan di sekitar kawasan KLCC dan Jalan Ampang pagi esok selain meletakkan anggota untuk menjaga keselamatan di kawasan itu pada hari berkenaan. Berita asal