Peguam Datuk VK Lingam memohon untuk membawa dua pakar sebagai saksi bagi mencabar laporan mengenai ketulenan klip video yang disediakan oleh Cybersecurity Malaysia.

Peguam Lingam, R Thayalan membuat permohonan untuk membawa dua pakar analisa audio video dari London untuk memberi keterangan minggu depan.

Soal ketulenan klip video tersebut menjadi isu utama sejak ianya didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim September lalu.

Pendirian Lingam (foto: kanan) ialah ketulenan klip tersebut tidak boleh disahkan dari salinan video.

Mohd Zabri Adil Talib, pegawai Cybersecurity Malaysia yang menganalisa klip video tersebut, hari ini menolak cadangan bahawa klip yang dianalisanya itu tidak sesuai kerana ia hanya salinan.

Tambahnya, pemindahan fail video dari kad memori kamera ke dalam komputer dan kemudiannya ke dalam CD tidak menjejaskan kandungan datanya.

“Dalam bentuk elektronik, sesuatu salinan itu adalah salinannya yang tepat, tidak kira berapa kali salinan dibuat," katanya.

Menjawab soalan Thayalan sama ada rakaman asal video diperlukan untuk menentukan ketulenan klip tersebut, Zabri menjawab: “Tidak. Bukti itu mencukupi dan tulen.”

Pada 15 Januari, Zabri, seorang penganalisa kanan forensik komputer digital, memberitahu siasatan tersebut bahawa tidak ada tanda-tanda pindaan atau tambahan dibuat pada klip tersebut.

Soal proses ketulenan

Thayalan menyoal Zabri - yang dipanggil semula untuk memberi keterangan - selama hampir sejam, untuk menimbulkan keraguan terhadap proses ketulenan dan peralatan yang digunakannya.

Thayalan: (merujuk kepada laporan Zabri) Adakah anda setuju bahawa perisian DC Live/Forensic dan Sony’s Sound Forge bukan khusus untuk membuat analisa suara?

Zabri: Saya tidak setuju.

Thayalan: Adakah anda setuju terdapat perisian khusus untuk membuat analisa suara; Praat, Soundscape or CSL?

Zabri: Saya pernah membaca mengenainya.

Anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Mahadev Shankar: Adakah anda mengatakan peralatan yang digunakan itu bukan untuk (menganalisa) suara?

Thayalan: Ya.

Mahadev:

Jadi apakah kegunaan DC Live jika bukan untuk (analisa) suara?

Thayalan: Saya tidak tahu.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor: Jadi, anda tak boleh menyoalnya .. persoalannya ialah jenama mana yang lebih baik.

Zabri juga berkata, beliau tidak mempertingkatkan rakaman tersebut apabila melakukan analisa suara kerana ia dibuat dengan menggunakan perisian komputer.

Beliau menjelaskan bahawa semua analisa ciri-ciri unik (suara) dibuat mengguna perkakasan.

"Ianya sistem automatik. Jadi semua keputusannya dikira secara automatik. Untuk mendapatkan keputusan yang baik, proses rakaman mesti dilakukan selepas (melakukan) patologi forensik suara," katanya.

Zabri mempertahankan analisanya dengan berkata makmal Cybersecurity Malaysia dan peralatan yang digunakan memenuhi standard antarabangsa.

Suara Lingam

Thayalan juga menegaskan bahawa Zabri telah menerima maklumat bahawa suara dalam klip tersebut adalah suara Lingam.

Thayalan : Betulkan jika saya salah. Apabila anda melakukan analisa suara atau speaker, adakah anda sudah tahu suara siapa itu?

Zabri:

Saya tidak tahu.

Thayalan:

Jika ada melihat muka surat empat (laporan), bolehkan anda lihat nama fail ialah “VK to CJ.mpg”. Boleh anda baca C.1.3? Kita cakap mengenai sampel “VK”. Jadi, saya katakan anda sudah tahu.

Zabri

: Saya tidak setuju. VK boleh membawa banyak maksud.

Haidar:

Jeyanthi juga banyak nama (merujuk kepada penafian Lingam semalam, diikuti ketawa para hadirin).

Menjawab soalan dari peguam Salehudin Saidin yang mewakili bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Zabri berkata memang boleh dikesan jika ada pindaan pada trek audio klip video tersebut.

Salehuddin:

Jika dalam kad memori di mana video dan audio digabungkan, boleh anda uji jika ia (dipinda)?

Zabri: Ia boleh dilakukan. Tetapi analisa kita mendapati audionya konsisten dengan pergerakan imej video.

Salehuddin:

Tapi ianya salinan?

Zabri: Ya.

Sallehuddin:

Tapi jika audio itu dipinda dalam (fail) asalnya?

Zabri: Ya, ia boleh diuji berasaskan kepada pergerakan objek dan spektograf ... Setiap fail video ada pergerakannya. Jika pindaan dibuat, kita pasti dapat lihat.

Perlu soal pakar

Kemudian, merujuk kepada permohonan Thayalam untuk memanggil pakar sebagai saksi, anggota pesuruhjaya diraja, Mahadev menyatakan suruhanjaya itu "agak puashati" dengan laporan Zabri dan bertanya perlunya untuk memangil dua pakar sebagai saksi.

"Suruhanjaya tersebut mempunyai budibicara untuk memilih yang mana satu daripada dua (keterangan pakar) untuk diterima," jawab Thayalan.

Mahadev:

Apa yang saya faham dari soalan kamu ialah, pakar-pakar kamu itu tidak mengatakan bahawa saksi ini salah tetapi apa yang mereka katakan ialah jika peralatan yang sempurna digunakan, ia akan lebih tepat, lebih konklusif?

Thayalan: Itu mungkin analisa suara, bukan video.

Mahadev

: Ia berbalik kepada "ia mungkin saya, ia mungkin bukan saya" (hadirin ketawa).

Thayalan : Saya perlu mengemukakan laporan. Saya tidak boleh kata.

Mahadev: Tetapi anda tidak kata saksi itu silap?

Thayalan: Tidak.

Dalam permohonannya itu, Thayalan menyertakan bersama maklumat peribadi dua pakar tersebut dan berkata laporan penuh mereka akan disediakan. Beliau juga memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa pakar-pakar berkenaan telahpun dimaklumkan supaya bersedia dalam tempoh masa yang singkat.

Haidar berkata, suruhanjaya itu akan membuat keputusan apabila siasatannya bersambung Isnin depan sama ada pakar-pakar itu akan dipanggil memberi keterangan. Berita asal

http://www.malaysiakini.com/news/77466