Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta Pendanaan Politik: Tiada bantahan dari Umno, kata Azalina
Diterbitkan:  May 10, 2026 1:50 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Umno tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pangerang itu berkata pandangan rasmi Umno bagaimanapun belum dibawa secara formal kerana proses mendapatkan maklum balas cadangan penggubalan RUU itu daripada semua parti politik masih berjalan.

“Setakat ini tak ada pula bantahan daripada Umno. Tapi kita tidak bawa ia secara rasmi sebab mereka akan buat rujukan kepada setiap parti secara formal mengenai pandangan masing-masing.

“Jadi tiada pandangan rasmi tetapi setakat ini saya tidak dengar Umno memberikan bantahan kepada pendanaan politik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program dialog awam Kerangka Akauntabiliti Madani di Bangi hari ini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata cadangan penggubalan RUU Akta Pendanaan Politik masih dalam proses kajian dan memerlukan persetujuan semua parti politik memandangkan mereka akan menjadi pengguna utama undang-undang berkenaan.

Katanya berkata kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilakukan, namun masih terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara termasuk keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan serta entiti yang akan mengawal selia dana politik.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno turut dilaporkan menggesa penggubalan akta itu disegerakan bagi memastikan tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan menjadi kambing hitam dalam isu pembiayaan politik serta derma politik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS