Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu pecat, gantung keahlian empat lagi wakil rakyat
Diterbitkan:  May 11, 2026 5:51 PM
Dikemaskini: 11:11 AM
2

Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat serta menggantung keahlian empat lagi wakil rakyat dan pemimpin parti itu berkuat kuasa hari ini.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga, Kelantan, Mohd Almidi Jaafar bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa hari ini.

Dalam notis berasingan dikeluarkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin parti, Mohd Radzi Manan, berkata, Muhammad Islahuddin didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Mohd Radzi Manan

"Dengan penggantungan itu, maka YB secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

"Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," menurut notis itu.

Sementara itu, Muhammad Islahuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima surat penggantungan keahlian tersebut dan berkata beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Muhammad Islahuddin Abas (kanan) bersama Khlir Mohd Nor

Turut digantung adalah Adun Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar yang juga ketua bahagian Jeli turut digantung.

“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa YB digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu,” kata Mohd Radzi.

Mohd Almidi juga dibolehkan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut.

Sementara itu, Adun Kok Lanas Mohamaed Farid Mohamed Zawawi dipecat keahlian Bersatu berkuat kuasa hari ini.

Mohamaed Farid Mohamed Zawawi

Dalam satu notis, Mohd Radzi Manan, memaklumkan bahawa Mohamaed Farid yang juga adalah timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan ketua Bahagian Bersatu Ketereh didapati melanggar perlembagaan dan kod etika dan tatakelakuan ahli parti.

"Lembaga Disiplin bersidang dan memutuskan YB Datuk dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli," menurut notis itu.

Dalam notis berasingan, Mohd Radzi turut memaklumkan Exco Pemuda (Armada) Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat keahlian partinya.

Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat serta menggantung keahlian beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu antaranya Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani, Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hulu Langat Muhammad Faiz Rahmad.

Lima Ahli Parlimen pula digantung hak-hak keahlian iaitu Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Turut digantung Adun Kuala Sepetang Ahmad Man dan Adun Chenderoh Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Rosol dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan dia tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan parti itu yang menggantung keahliannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS