Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul lima wanita di kawasan stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar ibu kota, bulan lepas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas warga Bangladesh Md Romjan Ali, 41, selepas menyemak keputusan empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada 6 Mei yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM14,500 terhadap lelaki itu.
“Bagi lima kes itu, mahkamah akan memberikan satu hukuman secara global. Hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 18 bulan dari tarikh tangkap pada 27 April dan tertuduh juga diperintahkan disebat sekali untuk satu daripada kes tersebut,” kata Aslam.
Pada 6 Mei, Md Romjan mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita Jerman dan empat wanita tempatan berusia 21 hingga 28 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki Stesen LRT Chan Sow Lin, di dalam tren dan kawasan eskalator Stesen MRT Maluri dan di dalam tren dari Stesen MRT Taman Midah ke MRT Muzium Negara antara 7 pagi dan 10.30 malam pada 10 hingga 25 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan yang dapat memberi mesej kepada orang awam bahawa mahkamah memandang serius perbuatan cabul.
“Kesalahan dilakukan, iaitu mencabul di tempat awam satu tindakan yang tidak wajar. Tindakan seperti memeluk, menyentuh dan meraba mangsa bukan satu tindakan normal kerana orang yang normal tidak akan berkelakuan begitu.
“Jika dilihat daripada pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat dan masa berbeza serta semasa stesen LRT dan MRT dipenuhi orang awam yang menggunakan perkhidmatan itu,” katanya yang turut memohon perintah pengusiran selepas lelaki itu selesai menjalani hukuman.
Peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili Md Romjan memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghantar balik anak guamnya ke negara asal dengan ahli keluarganya bersedia membiayai semua urusan itu.
“Abang tertuduh yang hadir ke mahkamah hari ini mengesahkan adiknya menghadapi gangguan emosi dan mereka sedang dalam proses menghantarnya pulang berubat di negara asal.
“Dari segi hukuman denda, mohon digantikan dengan hukuman penjara yang berjalan serentak kerana tertuduh tidak mampu membayar denda. Untuk makluman mahkamah, permit kerjanya masih berkuat kuasa sehingga Februari 2027,” katanya.
- Bernama
