Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan keras polis menahan peserta perhimpunan aman rakyat membantah kenaikan harga barang Sabtu lalu.

"Perhimpunan tersebut adalah saluran sah yang dijamin Perlembagaan Persekutuan untuk menzahirkan masalah dan kemarahan rakyat terhadap tekanan hidup yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barang dan inflasi," kata Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya menekan suara rakyat kerana itu sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

"Rakyat tidak ada pilihan selain mengadakan perhimpunan aman kerana kerajaan telah sehingga ini gagal atau enggan bertindak menangani masalah yang dihadapi negara," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PKR menggesa agar semua tahanan dibebaskan segera.

PKR juga, katanya, mendesak kerajaan, khususnya Perdana Menteri, untuk membentangkan kepada rakyat langkah segera untuk meringankan beban hidup akibat kenaikan kos serta persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi tidak lama lagi berikutan masalah ekonomi Amerika Syarikat.

"Kerajaan perlu berjimat cermat bagi mengurangkan kos operasi atau belanja mengurus. Sebagai permulaan, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet perlu menawarkan pengurangan gaji.

Kekang kenaikan kos

"Semua projek-projek tidak perlu dan/atau tidak kritikal perlu ditangguhkan. Penjimatan ini perlu disalurkan kepada rakyat untuk mengekang kenaikan kos barangan perlu," katanya.

Dalam keadaan sekarang, katanya, pendekatan meningkatkan perbelanjaan negara bagi mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dunia tidak boleh digunapakai.

"Ini kerana sejak dari (Tun) Dr Mahathir Mohamad menjadi Menteri Kewangan sehingga sekarang, belanjawan negara sentiasa mengalami defisit.

"Ini bermakna hutang negara sekarang sudah terlalu tinggi dan peningkatan perbelanjaan akan hanya lebih membebankan generasi akan datang untuk membayar hutang yang terus-terusan meningkat," kata Khalid

Menurut beliau, situasi 1997 adalah berbeza kerana simpanan negara adalah tinggi ketika itu, hasil daripada belanjawan berhemah yang diamalkan untuk beberapa tahun sebelum itu.

Sehubungan ktu, katanya, PKR menggesa Perdana Menteri untuk mempunyai keberanian bersikap penuh bertanggungjawab dengan menangani masalah yang dihadapi sekarang hari ini dan tidak meninggalkannya untuk ditanggung oleh generasi akan datang.

"Malaysia mampu menghadapi masa-masa sukar asalkan semua pihak sama-sama berganding bahu berusaha menghadapinya dan kerajaan menyediakan kepemimpinan yang terbaik.

"Namun melihat kepada cara kerajaan ini menangani suara rakyat dengan menindas dan menekan tanpa bertindak menyelesaikan masalah rakyat, ternyata mereka tidak mampu dan terlalu lemah untuk memimpin," kata Khalid.