Ia akan mengambil masa sebelum kelima-lima pemimpin Hindraf mendapat tahu sama ada mereka akan dibicarakan di mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 26 Februari depan untuk mengumumkan keputusan permohonan habeas corpus mereka.

Suruhanjaya Kehakiman Datuk Zainal Azman Abdul Aziz berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dokumen-dokumen yang dikemukakan sebelum membuat keputusan terhadap permohonan habeas corpus mereka.

Menurutnya, beliau memerlukan masa sehingga hujung bulan Februari untuk meneliti semua dokumen terbabit.

Pada hari akhir permohonan habeas corpus itu, peguam Karpal Singh berhujah bahawa Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam afidavitnya, gagal membuktikan bahawa wujud 'keadaan tertentu' yang diperlukan apabila mengeluarkan perintah arahan mengikut Seksyen 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Menurutnya, Abdullah gagal menunjukkan sebab-sebab luar biasa mengapa beliau melangkau Seksyen 73 yang menetapkan tempoh tidak melebihi 60 tahun untuk menjalankan siasatan, termasuk hak pemohon membela diri.

Katanya, kekurangan dalam dua afidavit yang difailkan oleh menteri berkenaan untuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 8, mencacatkan arahan penahanan yang beliau keluarkan pada 13 Disember.

Lima pemimpin Hindraf P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasanthakumar - ditahan mengikut Seksyen 8(1) ISA pada 13 Disember lalu atas arahan Abdullah.

Mereka terus dihantar untuk menjalani penahanan dua tahun di Kem Tahanan Kamunting tanpa melalui tempoh siasatan selama 60 hari.

Arahan menteri

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam hujah balasnya berkata menteri berkenaan telah mengeluarkan tersebut selepas menerima laporan lengkap siasatan dari pihak polis.

“Menteri berkenaan tidak hanya bergantung kepada polis semata-mata tetapi juga dari sumber-sumber lain. Dalam afidavitnya, beliau berkata siasatan adalah lengkap dan sempurna sebelum beliau membuat keputusan.

Peguam Negara berkata, arahan penahanan yang dikeluarkan oleh Abdullah tidak boleh disemak semula oleh mahkamah dan beban untuk membuktikan wujud sebarang niat jahat di pihak menteri berkenaan, terletak di bahu pemohon.

Sebelum mahkamah ditangguhkan, Karpal membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Kehakiman itu supaya menimbang impak menteri diberi kuasa seumpama itu.

“Ini adalah satu kes ujian dan amat penting bagi setiap rakyat negara ini. Bolehkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bertindak tanpa siasatan dijalan, sepertimana yang disyaratkan oleh undang-undang dan menangkap sesiapa sahaja sesuka hatinya?

“Bagaimana dengan sebab-sebab arahan penahanan yang tidak boleh dipertikaikan oleh mahkamah? Kuasa diktator seumpama itu yang diberikan kepada menteri mempunyai implikasi dan akibat yang meluas," katanya.

Karpal berkata, penahanan tanpa bicara adalah sesuatu yang kejam dan hanya mereka yang telah menjadi mangsanya sahaja yang dapat mengerti.

Sehubungan itu, beliau memohon kepada mahkamah supaya membenarkan permohonan habeas corpus untuk membebaskan kelima-lima pemimpin Hindraf tersebut.

Karpal juga memohon supaya tarikh penghakiman dipercepatkan kerana dua orang tahanan - Uthayakumar dan Manoharan - telah menjalani rawatan di Hospital Taiping kerana kekurangan air dalam badan selepas mengadakan mogok lapar sejak 22 Januari lalu.

Rayuan isteri pada AG

Sementara itu, di luar mahkamah, isteri Ganabatirau - Puvaneswary - kelihatan menemui Peguam Negara berhampiran lif mahkamah.

Dalam keadaan menangis, beliau memberitahu Peguam Negara bahawa suaminya tidak bersalah serta keadaan dua orang anak perempuannya.

Abdul Gani menenangkan Puvaneswary sebelum memberitahunya supaya meminta peguamnya menghubungi beliau dan melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu Ganabatirau.

Selepas Abdul Gani memasuki lif, Puvaneswary memberitahu pemberita bahawa suaminya tidak bersalah dan apa yang dilakukan terhadapnya adalah tidak adil.

Beliau kemudiannya beredar dari situ. Begitu juga dengan penyokong Hindraf yang berhimpulan di luar bilik mahkamah di tingkat empat itu. Berita asal