Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu, hari ini diumum sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Dalam kenyataan dikeluarkan awal petang ini, PN berkata, mereka mencapai persetujuan tersebut dalam mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata semua anggota Majlis Tertinggi PN menghadiri mesyuarat berkenaan.
Untuk rekod, selain menjadi menteri besar, Ahmad Samsuri juga merupakan Ahli Parlimen Kemaman dan Naib Presiden PAS.
Dalam perkembangan berkaitan Takiyuddin juga mengumumkan PN bersetuju dengadakan kerjasama pilihan raya (electoral pact) dengan beberapa parti.
Katanya langkah itu dibuat dengan parti yang dianggap mempunyai keserasian dengan perjuangan dan kepentingan PN.
Bagaimanapun Takiyuddin tidak memperincikan parti yang dimaksudkan itu.
“Mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
“PN akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” katanya.
Isu pemilihan ketua pembangkang sempat berlarutan selama beberapa bulan dan sempat mengundang hubungan yang agak tegang di antara dua parti utama PN – Bersatu dan PAS.

Kedudukan itu mula dipertikaikan selepas Hamzah dipecat Bersatu selepas tidak sehaluan dengan pemimpin tertinggi parti itu, Muhyiddin Yassin.
Pada masa sama hubungan PAS dan Bersatu juga keruh ekoran jatuhnya anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, dari jawatan Menteri Besar Perlis.
Kedudukan jawatan tersebut diambil alih oleh Pengerusi Bersatu Perlis merangkap Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Turut terjejas ialah kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. Jawatan Setiausaha Agung PN juga berganti apabila Takiyuddin dilantik menggantikan penyandang, Azmin Ali.
Sementara itu dalam kenyataan media hari ini juga, PN mengumumkan pelantikan pengerusi negeri yang menyaksikan beberapa perkembangan menarik.
Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, misalnya diberi kepercayaan mengetuai dua negeri iaitu Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Bagi Terengganu pula, jawatan yang sebelum ini disandang Ahmad Samsuri digantikan dengan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Alias Razak.
Pun begitu pelantikan jawatan pengerusi bagi Negeri Sembilan “ditangguhkan”.
Berikut ialah senarai lengkap seperti yang diumum Takiyuddin hari ini:
Perlis: Shahidan Kassim (PAS)
Kedah: Sanusi Md Nor (PAS)
Pulau Pinang: Dominic Lau (Gerakan)
Perak: Ahmad Faizal Azumi (Bersatu)
Selangor: Azmin Ali (Bersatu)
Negeri Sembilan: Ditangguhkan
Melaka: Radzi Jidin (Bersatu)
Johor: Sahruddin Jamal (Bersatu)
Pahang: Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS)
Terengganu; Alias Razak (PAS)
Kelantan: Ahmad Yakob (PAS)
Sabah: Aliakbar Gulasan (PAS)
Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Bersatu)
Wilayah Persekutuan: Radzi Jidin (Bersatu)
