Amnesty International (AI) Malaysia mengecam penahanan peserta perhimpunan membantah kenaikan harga dekat KLCC, anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) Sabtu lalu.

k shan "Kita juga memandang berat terhadap pendakwaan terpilih terhadap seorang wartawan kerana didakwa menghalang seorang pegawai polis menjalankan tugasnya," kata Penyelaras AI Malaysia, K Shan.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, AI Malaysia menyifatkanya sebagai penyalahgunaan kuasa yang tidak menghormati hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman dan dilindungi dari sebarang kekerasan atau kekejaman dan tindakan tidak berperi kemanusiaan.

Di samping itu, katanya, Kanun tingkahlaku PBB bagi pegawai penguatkuasa di mana dalam Artikel 5, menyatakan tiada undang-undang penguatkuasaan boleh mengakibatkan, memulakan atau bertolak ansur dengan sebarang tindakan kejam, tidak berperi kemanusiaan dan menjatuhkan maruah atau menggunakan arahan-arahan atau keadaan terkecuali, seperti ancaman kepada keselamatan negara, untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan tersebut.

"Kami juga memandang berat dengan tindakan berterusan mendapatkan perintah larangan terhadap penganjuran perhimpunan awam sebagai cara untuk membanterasnya.

"AI Malaysia berpendapat bahawa tindakan mendapatkan perintah larangan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses perundangan.

"Ini kerana permohonan tersebut dibuat dan diluluskan hanya berasaskan prejudis satu pihak sahaja dan menghakis hak sebelah pihak lagi supaya kes mereka didengar di mahkamah terbuka." katanya.

Pendakwaan terpilih

Perintah mahkamah itu juga memberi kuasa seluas-luasnya kepada pihak polis dan membolehkan berlakunya salahguna kuasa kerana ia mendedahkan orang awam kepada risiko ditangkap, ditahan, diseksa dan bentuk layanan buruk yang lain serta pendakwaan terpilih.

AI Malaysia, kata Shan lagi, berpendapat bahawa perintah mahkamah itu telah menghakis kebebasan asasi untuk berhimpun dan bergerak, sepertimana yang dijamin oleh Lembaga Persekutuan.

"Kami ingin menyuarakan kebimbangan kami yang teramat sangat berhubung penangkapan dan penahanan wartawan Malaysiakini .

"AI Malaysia berpendapat bahawa tangkapannya itu merupakan satu kegagalan yang serius untuk menghormati dan mengiktiraf fungsi profesional wartawan dalam menjalankan tugasnya.

"Kami kesal kerana pihak polis telah menjawab soalan wartawan tersebut dengan mendakwanya atas tuduhan menghalang seorang anggota polis menjalankan tugasnya," katanya.

Shan berkata, pihaknya berpandangan bahawa tuduhan terhadap wartawan Malaysiakini itu adalah satu lagi tindakan intimidasi untuk mengekang kebebasan media, hak dan kebebasan wartawan untuk melaporkan tanpa sebarang gangguan dan ugutan ditangkap, ditahan dan didakwa.

Katanya, memandangkan kemungkinan lebih banyak perhimpunan akan diadakan menjelang pilihanraya umum yang dijangka awal tahun ini, AI Malaysia menuntut kerajaan Malaysia supaya menghormati hak asasi rakyat.

'Terlampau keras'

AIM juga, tegas Shan, menuntut kerajaan supaya melaksanakan syor-syor Suruhanjaya Diraja Polis supaya dipinda Seksyen 27 Akta Polis dan melaksanakan segera rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku (IPCMC).

Sementara itu, Suaram Pulau Pinang juga kesal dengan tindakan polis yang didakwanya terlampau keras dalam menanggani perhimpunan pada 26 Januari lalu.

Penyelarasnya, Lao Shu Shi berkata, polis telah mendapatkan perintah mahkamah dan melakukan penangkapan besar-besaran sejam sebelum perhimpunan bermula.

Tindakan polis itu, katanya, menunjukkan penubuhan IPCMC adalah sangat mustahak.

"Selain itu, Suaram Pulau Pinang juga menyeru kerajaan supaya mengubah secepat mungkin Akta Polis Ayat 27 yang mengekang himpunan aman dengan mengenakan syarat permit.

"Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia menjaminkan kebebasan rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat. Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Artikel 10) yang menjamin hak tersebut," katanya.

Lao berkata pihaknya juga bimbang dengan cara polis menghalang mereka yang ditahan, daripada mendapat nasihat peguam.

Lapor tanpa takut

"Tindakan ini menunjukkan kemerosotan etika profesional pihak polis yang sepatutnya, sebagai penguatkuasa undang-undang negara, menghormati hak rakyat di bawah undang-undang," tambahnya.

Selain itu, kata Lao, Suaram Pulau Pinang menuntut Polis Diraja Malaysia menyemak semula tatacara mereka supaya setara dan tidak bercanggah dengan kanun tingkahlaku PBB bagi pegawai penguatkuasa serta prinsip-prinsip asas BN berhubung penggunaan kekerasan dan senjata oleh Pegawai Penguatkuasa.

"Suaram Pulau Pinang turut kesal dengan kejadian di mana seorang wartawan dari akhbar Internet Malaysiakini ditahan semasa bertugas," katanya dalam satu kenyataan hari ini

"Dakwaan Syed Jaymal Zahiid bahawa dia dipukul semasa ditahan sangat mengecewakan lebih-lebih lagi kerana dia ditahan kerana "bertanya terlalu banyak soalan".

"Kini, tindakan Polis untuk mendakwa Syed Jaymal atas tuduhan menghalang polis menjalankan tugas, hanya menguatkan lagi laporan kebebasan akhbar "Reporters Without Borders" meletakkan Malaysia di tangga tercorot 124," kata Lao.

Sehubungan itu, Suaram Pulau Pinang, tegasnya,meminta penjelasan kerajaan dan melindungi hak wartawan untuk melakukan tugasnya, iaitu untuk melapor tanpa rasa takut.