Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pilihan raya kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa tidak akan diadakan.
Pengerusinya Ramlan Harun berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.
"Selaras dengan itu, tiada PRK Parlimen P100 Pandan dan P118 Setiawangsa akan dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramlan berkata SPR menerima pemakluman berhubung status kekosongan luar jangka bagi dua kerusi parlimen berkenaan daripada Johari melalui surat bertarikh hari ini.
Katanya ia dibuat selepas kedua-dua kerusi tersebut diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
Pada Ahad lalu bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mengosongkan kerusi mereka keesokan harinya.
Mereka juga keluar dari PKR berkuat kuasa semalam. Pemakluman itu dibuat melalui surat kepada setiausaha agung parti berkenaan.
Mereka kemudian mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang merupakan sebuah parti politik kecil berpangkalan di Pulau Pinang.
- Bernama
