Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Tindakan pada media lapor dakwaan rasuah tak boleh diterima

Siasatan polis terhadap beberapa organisasi media terkait laporan mereka mengenai ahli perniagaan, Sofia Rini Buyong, adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai tekanan terhadap kebebasan media, kata seorang peguam.

Menurut Rajesh Nagarajan siasatan ke atas media yang melaporkan isu itu boleh menjejaskan peranan mereka sebagai “kuasa keempat” dalam sistem demokrasi.

Sofia sebelum ini menjadi perhatian selepas satu video yang dimuat naik oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada 22 April tular di media sosial.

Dalam video itu, Sofia dilihat berbual dengan seorang individu yang dipercayai ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, dan mendakwa seseorang bernama “Anwar” telah mengarahkan individu lain bernama “Farhash” untuk mencuri wang, yang kemudiannya didakwa dihantar ke Afrika.

Rajesh berkata dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa beberapa organisasi media termasuk Malaysiakini dipanggil untuk siasatan berhubung laporan mengenai dakwaan tersebut.

Menurut Rajesh, dia mengetahui perkara itu ketika menemani anak guamnya, iaitu editor MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya, yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 2 petang semalam.

“Pihak berkuasa tidak memanggil mereka yang membuat laporan polis, tetapi sebaliknya memanggil media yang menyiarkan laporan berita mengenainya dan itu langsung tidak masuk akal.

“Ini tidak boleh diterima. Media ialah kuasa keempat dalam demokrasi, masyarakat memerlukan media yang bebas untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan baik.

“Jika media tidak bebas, keseluruhan sistem akan runtuh kerana tiada semak dan imbang, rakyat tidak akan tahu apa yang berlaku, dan pihak yang melakukan kesalahan tidak boleh dipersoalkan.

“Pemburuan terhadap media ini sangat-sangat salah,” katanya kepada Malaysiakini.

Laksanakan tanggungjawab perlembagaan

Rajesh turut berkata sesi soal siasat terhadap Abdar Rahman adalah singkat, hanya sekitar 30 minit dengan 57 soalan diajukan, termasuk satu soalan berkaitan bagaimana laporan beritanya boleh menjejaskan maruah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Rajesh menambah anak guamnya memberikan respons terhadap semua soalan polis itu dengan menyatakan dia akan menjawabnya di mahkamah.

“Anak guam saya disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Rahman memberi kerjasama sangat baik. Beliau hadir selepas menerima notis. Beliau hanya menjalankan tanggungjawab perlembagaan semasa sesi soal siasat hari ini (semalam),” katanya.

Pada 24 April lalu, Anwar menepis dakwaan bahawa bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, diarahkan mencuri wang dan menyembunyikannya di Afrika.

Anwar juga dilaporkan meminta pihak media tidak melayan tuduhan tersebut dan menegaskan mereka yang membuat dakwaan sedemikian perlu mengemukakan bukti.

Susulan kemunculan video itu Malaysiakini telah menghubungi Sofia, Farhash dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan komen.


Baca Farhash nafi larikan wang ke Afrika, adukan tuduhan ke polis


Sofia menjadi perhatian pada tahun lalu apabila satu video yang memaparkan dia bercakap dengan Tei mengenai dakwaan rasuah melibatkan bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Akibat kontroversi itu, Shamsul Iskandar meletakkan jawatannya dan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang dia secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.

Farhash turut dilaporkan menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan kegiatan mencuri serta pengubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit ke luar negara.

Menurut Farhash, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah yang bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya, selain memberi kesan kepada kehidupan peribadi serta urusan perniagaan.

Dalam pada itu, Farhash turut menafikan dakwaan dia memiliki kewarganegaraan Turkiye, selain menegaskan dia tidak mempunyai sebarang akaun bank di negara berkenaan.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

Farhash berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Tei mendakwa dia dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk dirakam keterangan.

Tei dalam kenyataannya berkata dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa Farhash telah membuat laporan polis pada malam 5 Mei berhubung dakwaan dalam video Sofia Rini.

“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa saya lebih awal daripada dia yang membuat laporan polis berhubung perkara tersebut iaitu pada pagi 5 Mei lalu di IPD Dang Wangi.

“Kejadian itu berlaku sejak 22 April lalu, tetapi saya membuat laporan polis dua minggu kemudian.

"Saya rasa sangat pelik kerana Farhash yang didakwa terlibat dengan pelbagai salah laku di dalam video itu, namun dia hanya membuat laporan polis selepas saya mengadukannya kepada pihak polis.

“Walaupun begitu, pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan saya, sebaliknya mereka memandang serius terhadap laporan polis yang dibuat oleh Farhash.

“Saya yang mengadukan perkara tersebut kepada pihak polis, tetapi sekarang saya yang disiasat sekarang. Inilah namanya penguatkuasaan dua darjat, orang yang berprofil tinggi diberikan layanan istimewa,” tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS