Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Pamela Ling pantau perkembangan siasatan polis

Peguam yang mewakili Pamela Ling dalam kes semakan kehakiman terhadap SPRM akan memantau rapat siasatan pihak berkuasa mengenai dakwaan penculikannya dalam tempoh enam bulan akan datang untuk menentukan hala tuju kes tersebut seterusnya.

Ling, yang masih hilang sehingga kini, didakwa telah diculik pada 9 April tahun lalu ketika dalam perjalanan untuk bertemu dengan penyiasat SPRM.

Berikutan itu, peguam Ling memohon agar kes tersebut ditangguhkan tanpa tempoh ditetapkan memandangkan mereka tidak dapat menerima arahan daripadanya.

“Hari ini ditetapkan untuk sambung perbicaraan (di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) bagi permohonan menangguhkan prosiding tanpa tempoh ditetapkan,” kata peguam Surendra Ananth kepada Malaysiakini.

“(Permohonan itu) difailkan pada Ogos tahun lalu dan telah didengar sekali pada Disember (tahun yang sama).

“Peguam hari ini mencadangkan kepada mahkamah supaya menangguhkan prosiding selama enam bulan lagi untuk melihat sama ada terdapat sebarang perkembangan dalam siasatan (pihak berkuasa).

“Jika tiada sebarang perkembangan dalam tempoh enam bulan, maka peguam akan mempertimbangkan tindakan seterusnya,” katanya.

Surendra berkata hakim Azizan Md Arshad menetapkan 7 Disember untuk meneruskan pendengaran permohonan tersebut.

Ling memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 7 April tahun lalu, dua hari sebelum dia hilang.

Dalam saman tersebut, dia mendakwa SPRM menggunakan kuasa di bawah Akta SPRM dan undang-undang pencegahan pengubahan wang haram untuk menekan dirinya supaya menyelesaikan pertikaian dengan suami yang telah berpisah dengannya, bukannya untuk tujuan siasatan yang sah.

Dia mendapat kebenaran untuk meneruskan kesnya pada Mei tahun yang sama.

SPRM, sebagai respon, berkata cabaran undang-undang tersebut tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang berjalan.

Ling, 43, ialah isteri kepada Thomas Hah, seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan “kontroversi” berkaitan urus niaga tanah di Sabah.

Insiden dalam perjalanan ke pejabat SPRM

Tahun lalu, seorang pemandu Grab yang menghantar Ling ke SPRM mendakwa individu berpakaian seragam polis telah memberhentikan kenderaannya, memaksa Ling keluar, dan didakwa menyuruhnya menandakan perjalanan itu sebagai “selesai”.

Pemandu e-hailing itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Kok, mendakwa individu berkenaan turut merampas lesen memandunya serta kad pengenalannya.

Selepas itu, Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Rusdi Isa, berkata pada 8 Mei bahawa penyiasat telah memperoleh rakaman CCTV dari lokasi kejadian yang menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terlibat, termasuk dua yang memakai vest polis.

Dia berkata suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis. Pegawai penyiasat juga telah menghasilkan lakaran wajah salah seorang suspek, namun Rusdi mengakui kualitinya kurang baik.

Polis kemudian menahan suami Ling pada 15 Mei tahun lalu untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, dia dibebaskan keesokan harinya selepas polis gagal mendapatkan perintah reman.

Pada Julai tahun lalu, polis berkata mereka menghadapi kesukaran mengenal pasti suspek kerana kenderaan yang digunakan untuk menculik Ling menggunakan nombor pendaftaran dan nombor casis palsu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS