Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ghaz akui Konspirasi terlepas suntik isu 'mafia korporat'

Pengarah, Ghaz Abu Bakar, mengakui dia terlepas peluang untuk menyuntik elemen kontroversi yang dikaitkan dengan SPRM apabila kes itu meletus ketika Konspirasi sudah selesai sesi penggambaran.

Menurutnya, isu skandal "mafia korporat" hanya tular ketika filem berkenaan sudah pun berada di fasa suntingan akhir.

"Jika kontroversi (mafia korporat) itu meletus lebih awal, kemungkinan besar saya akan masuk itu ke dalam skrip bagi menjawab kepada persoalan yang terbuku di hati rakyat," katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Konspirasi di GSC IOI City Mall, Putrajaya, Isnin lalu.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan dakwaan itu dan melihat isu berkenaan dari pelbagai sudut pandang.

"Mungkin ada agenda pihak luar yang cuba menggugat kestabilan negara atau mungkin juga perkara itu benar-benar berlaku.

“Justeru jalan terbaik ialah kita tunggu sahaja hasil siasatan rasmi," kata Ghaz.

Konspirasi merupakan filem arahan Ghaz yang ke-10 dan mempertaruhkan genre aksi thriller dengan penampilan berbeza apabila menggabungkan elemen siasatan siber, manipulasi politik, serta menyingkap tugas sebagai seorang pegawai SPRM.

Bagaimanapun, Ghaz, 51, menegaskan bahawa buah tangannya itu bukanlah sebuah naskhah provokasi yang dicipta untuk menyerang mana-mana figura politik atau institusi tertentu.

Namun jelasnya, ia merupakan sebuah karya fiksyen kreatif yang diinspirasikan daripada isu semasa, sama ada yang berlaku di dalam mahupun di luar negara.

Skandal "mafia korporat" itu menjadi tumpuan selepas laporan Bloomberg pada 12 Feb lalu menuduh pegawai SPRM bersubahat dengan ahli perniagaan untuk pengambilalihan korporat.

SPRM bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai satu plot untuk mencemarkan reputasinya.

Penonton matang dan bijak

Ghaz berkata dia menerima tawaran mengarahkan filem tersebut ketika imej SPRM berada pada tahap yang sangat positif di mata masyarakat, susulan pelbagai kejayaan siri serbuan rasuah melibatkan berprofil tinggi.

Namun jelasnya, semua itu berubah apabila Konspiras menghampiri fasa pascaproduksi.

Ketika itu, katanya, SPRM dilanda pelbagai kontroversi termasuk isu dakwaan pemilikan saham bekas ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

“Saya ada membaca komen-komen netizen. Ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang kekal menyokong.

“Bagi saya, itu adalah lumrah. Tidak semua orang akan suka dan tidak semua orang akan membenci," ujarnya.

Ghaz percaya penonton hari ini sudah cukup matang dan bijak untuk menilai subteks serta mesej yang ingin disampaikan tanpa perlu mengaitkannya secara melulu dengan mana-mana individu atau parti politik.

Pengarah Polis Evo itu turut mendedahkan sebahagian plot filem ini mendapat inspirasi daripada geopolitik luar negara.

"Ada juga inspirasi daripada politik luar negara. Contohnya, bagaimana sesuatu isu yang besar kadangkala sengaja diledakkan bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kontroversi lain," ulasnya lagi.

Tapisan ketat SPRM dan LPF

Mengulas lanjut cabaran di sebalik pembikinan Konspirasi, Ghaz mengakui bukan mudah untuk merealisasikan sebuah filem yang menyentuh institusi penguatkuasaan utama negara.

Katanya, skrip Konspirasi terpaksa melalui proses saringan dan tapisan yang sangat ketat di peringkat tertinggi SPRM sebelum penggambaran dibenarkan termasuk dinilai oleh Azam sendiri.

"Bagi memastikan ketepatan yang bakal dipaparkan di layar perak, pihak produksi bekerjasama rapat dengan pegawai daripada Unit Siasatan dan Unit Forensik SPRM.

“Kami memperincikan apa yang boleh dan tidak boleh dipaparkan, termasuklah aspek chain of command (rantaian arahan) serta prosedur dalaman mereka.

"Bukan itu sahaja, selepas penggambaran selesai, filem ini sekali lagi dinilai oleh bekas ketua pesuruhjaya SPRM yang membawa kepada beberapa proses suntingan semula adegan dan penambahan elemen aksi bagi memantapkan lagi naratif.

"Cabaran terbesar bertamu apabila filem ini diserahkan kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) ekoran kandungannya yang menyentuh sensitiviti politik.

“Saya rasa jarang ada filem tempatan yang berani memaparkan dialog mengkritik watak perdana menteri secara terbuka seperti dalam filem ini," dedah Ghaz.

Tambahnya, LPF meluluskan naskhah itu selepas memahami konteks yang dibawa sebagai sebuah karya fiksyen murni.

Ghaz (tengah)

Pendedahan unit ACTS dan konflik berbeza

Menerusi Konspirasi, Ghaz berharap dia dapat membuka mata masyarakat khususnya golongan muda bahawa skop kerja SPRM adalah luas dan tidak terhad kepada kes rasuah kecil-kecilan.

Jelasnya, filem ini secara eksklusif memperincikan fungsi pasukan taktikal ACTS dalam SPRM.

Meskipun berlatarkan agensi penguatkuasaan, Ghaz menegaskan Konspirasi tidak menjual nama SPRM semata-mata sebaliknya teras utama naratif filem itu didorong oleh konflik hubungan adik-beradik, dendam kesumat dan kemaruk perebutan kuasa.

"Tajuk Konspirasi itu dipilih kerana setiap watak mempunyai agenda dan kepentingan tersembunyi yang saling berkait.

"Saya mahu penonton memahami impak bahaya rasuah dan betapa getirnya tugas pegawai di sebalik tabir.

“Janganlah disebabkan one bad apple (setitik nila), keseluruhan institusi itu kita anggap buruk.

"Jika dipecahkan, setiap sub-plot sebenarnya boleh berdiri sebagai satu cerita sendiri tetapi saya gabungkannya menjadi satu naratif besar,” katanya yang meletakkan harapan agar penonton hadir ke pawagam dengan minda yang terbuka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS