Bersatu mengambil giliran mereka pula untuk bersuara kira-kira dua hari selepas berdepan dengan tuduhan dibuat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Dalam kenyataan panjang hari ini, Biro Politik Bersatu memberikan penjelasan terhadap beberapa isu berbangkit yang didakwa Abdul Hadi menyebabkan PAS mungkin hilang sabar.
Kenyataan enam perkara oleh biro itu juga mendedahkan beberapa perkara yang selama ini tidak didedahkan oleh Bersatu.
“Bersatu berpandangan isu itu sepatutnya dibawa ke meja rundingan dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.
“Namun oleh kerana Presiden PAS membuat kenyataan terbuka mengenainya, Biro Politik Bersatu berpendiian perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada umum agar tidak timbul salah faham dan persepsi negatif terhadap Bersatu dalam kalangan ahli dan masyarakat,” katanya
Berhubung pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis, Bersatu berkata ia tidak wajar dipertikaikan lagi kerana pelantikannya adalah atas budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Biro Bersatu juga mendakwa baginda sudah menitahkan Abdul Hadi dan Preisden Bersatu, Muhyiddin Yassin menghadap pada 25 Okt 2025.
Ketika Muhyiddin sudah bersedia, kata Biro Politik Bersatu, pertemuan tersebut terpaksa dibatalkan kerana Abdul Hadi tidak dapat hadir “atas sebab-sebab tertentu.”
Baginda kemudian menitahkan agar kedua-dua parti menyerahkan nama calon untuk dipertimbangkan dan ia dipatuhi oleh Bersatu sambil menyerahkan isu berkenaan kepada pihak istana.
“Tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan biadab,” katanya.

Mengenai cubaan menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Bersatu berkata, setiausaha agung kedua-dua parti (Azmin Ali dan Takiyuddin Hassan) bekerjasama rapat sejak awal untuk menguruskannya.
Bersatu berkata mereka mengambil kira pendirian Umno yang menegaskan semua 14 Adun mereka kekal menyokong kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
“Setiausaha Agung Bersatu telah menghubungi Setiausaha Agung PAS pada 28 April jam 11.06 pagi untuk berbincang pendirian yang perlu diambil secara bersama.
“Bagaimanapun, perbincangan tidak dapat diadakan kerana Setiausaha Agung PAS memaklumkan beliau berada di Kota Bharu.
“Keesokannya iaitu jam 11.06 pagi, Setiausaha Agung Bersatu sekali lagi menghubungi Setiausaha Agung PAS untuk meminta nasihat.
“Mengambil kira Umno kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, maka tindakan ADUN PN kekal bekerjasama dengan Adun UMNO tidak lagi sesuai.
“Malah ini akan memberikan gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan tindakan Umno mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan.
“Bagi mengelakkan gambaran salah ini, Setiausaha Agung Bertsatu mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 Adun UMNO.
“Namun, tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung PAS,” katanya.
Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan Biro Politik Bersatu:
Biro Politik Bersatu meneliti kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dalam sidang media beliau di Rusila pada 22 Mei 2026. Dalam sidang media tersebut, beliau telah mengemukakan beberapa asas yang akan dipertimbangkan oleh PAS untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu.
Antaranya ialah isu pertukaran Menteri Besar Perlis, tuduhan Bersatu tiada jentera pilihan raya, tindakan disiplin terhadap ahli-ahli Bersatu dan krisis politik di Negeri Sembilan.
Bersatu berpandangan bahawa isu-isu ini sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.
Namun, oleh kerana Presiden PAS telah membuat kenyataan terbuka mengenainya, maka Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa perkara-perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada umum supaya tidak menimbulkan salah faham dan persepsi negatif terhadap Bersatu dalam kalangan ahli-ahli parti dan masyarakat.
PERTUKARAN MB PERLIS
Mengenai pertukaran Menteri Besar Perlis, Bersatu berpendirian bahawa perkara ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana pelantikan menteri besar adalah kuasa budi Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Apatah lagi Tuanku Raja Perlis telah memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk menyelesaikan kemelut politik di Perlis dengan baik. Ruang perbincangan juga telah diberikan secara adil untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit secara harmoni.
Tuanku Raja Perlis menitahkan supaya Presiden Bersatu dan Presiden PAS menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 untuk membincangkan isu berkaitan kedudukan menteri besar.

Presiden Bersatu telah bersedia untuk menghadap tetapi sesi itu terpaksa dibatalkan kerana Presiden PAS atas sebab-sebab tertentu tidak dapat hadir. Selepas itulah Tuanku menitahkan supaya kedua-dua parti mengemukakan nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan oleh baginda.
Bersatu menjunjung titah tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda sama ada untuk melantik seorang menteri besar dari Bersatu atau PAS mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Jadi, tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab. Tuduhan bahawa Adun-Adun Bersatu menarik sokongan daripada Menteri Besar Perlis dari PAS juga tidak benar.
Mereka hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri tersebut mengikut kuasa budi bicara baginda.
BERSATU LEBIH RAMAI CALON DARIPADA JENTERA
Berhubung dakwaan bahawa Bersatu hanya memperbanyakkan calon tetapi tiada jentera, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kekuatan di peringkat akar umbi.
Dalam beberapa bulan ini, Ibu Pejabat Bersatu menerima ratusan permohonan ahli baru setiap hari dan ini membuktikan Bersatu sedang berkembang dengan tenaga baru khususnya anak muda.
Selain dari jentera dan ahli parti, kekuatan Bersatu dalam semua pilihan raya ialah jenama Bersatu yang menjadi daya tarikan rakyat Malaysia, selain pengalaman dan rekod para pemimpin yang telah teruji dan terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik.
Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat serta pengalaman yang wibawa telah melonjakkan sokongan pengundi kepada calon-calon Bersatu dan parti-parti lain dalam PN.
TINDAKAN DISIPLIN TERHADAP AHLI BERSATU
Dakwaan Bersatu mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan Kedah dan Kelantan dengan mencadangkan rombakan ahli exco dan timbalan speaker DUN adalah tidak berasas sama sekali.
Setiap parti politik mempunyai tatacara etika serta disiplin yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Keberadaan exco dan timbalan speaker tersebut di jawatan mereka adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu.
Apabila Lembaga Disiplin Bersatu mengambil tindakan disiplin dan mereka tidak lagi menjadi ahli parti, maka Bersatu menghantar cadangan nama pengganti.
Memang menjadi amalan biasa rombakan dibuat apabila terdapat ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan diambil tindakan disiplin oleh partinya.

Lembaga disiplin mengambil tindakan terhadap ahli-ahli parti yang terlibat berasaskan bukti dan aduan yang diterima oleh mereka yang kemudiannya mendengar, menyiasat dan membuat keputusan berdasarkan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Ini adalah isu disiplin yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui surat bertarikh 7 Mei 2026 memaklumkan hasil siasatan terhadap Bersatu berhubung isu yang dikaitkan dengan tindakan oleh lembaga disiplin.
ROS mengesahkan bahawa Bersatu mengambil tindakan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti dan berpuas hati dengan tindakan dan keputusan yang telah diambil.
Malah, tindakan disiplin yang diambil mengikut lunas perlembagaan parti adalah kaedah penting dalam mana-mana parti untuk menjamin kestabilan dan integriti parti terutamanya ketika berhadapan dengan krisis yang boleh memecah-belahkan parti.
Maka, PAS sebagai parti anggota dalam PN sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti lain berkaitan hal disiplin parti dan tindakan-tindakan yang diambil untuk menstabilkan parti.
Apatah lagi ROS telah mengesahkan bahawa tindakan Bersatu terhadap wakil-wakil rakyat itu adalah berperlembagaan.
KRISIS POLITIK NEGERI SEMBILAN
Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bekerjasama rapat dari awal untuk menguruskan krisis tersebut.
Kedua-dua parti telah bersetuju supaya lima Adun Negeri Sembilan dari PN – iaitu dua Adun Bersatu dan tiga adun PAS – bekerjasama dengan 14 adun Umno untuk menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Namun, merujuk pendirian Biro Politik Umno Malaysia dan pendirian Presiden Umno dalam Sambutan 80 Tahun Umno yang mengambil ketetapan bahawa 14 Adun mereka kekal bersama dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, Setiausaha Agung Bersatu telah menghubungi Setiausaha Agung PAS pada 28 April 2026 jam 11.06 pagi untuk berbincang pendirian yang perlu diambil secara bersama.

Bagaimanapun, perbincangan tidak dapat diadakan kerana Setiausaha Agung PAS memaklumkan beliau berada di Kota Bharu.
Keesokannya iaitu 29 April 2026 jam 11.06 pagi, Setiausaha Agung Bersatu sekali lagi menghubungi Setiausaha Agung PAS untuk meminta nasihat.
Mengambil kira Umno kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, maka tindakan Adun PN kekal bekerjasama dengan Adun UMNO tidak lagi sesuai.
Malah ia akan memberikan gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan tindakan Umno mendukung kerajaan PH Negeri Sembilan.
Bagi mengelakkan gambaran salah ini, Setiausaha Agung Bersatu mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 Adun Umno.

Namun, tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung PAS.
Pada 30 April 2026 jam 11.53 pagi, sekali lagi Setiausaha Agung Bersatu menghubungi Setiausaha Agung PAS meminta untuk berjumpa dan berbincang tetapi tiada maklum balas diberikan.
Dari 28 April sehingga 5 Mei 2026, PAS gagal untuk memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan Bersatu untuk menarik sokongan setelah Umno kembali menyokong kerajaan PH Negeri Sembilan.
Asas pendirian Bersatu adalah jelas dan konsisten iaitu sebarang kerjasama dengan Umno boleh diadakan dengan syarat parti itu memutuskan hubungan dengan PH.
Isu kemelut politik di Negeri Sembilan telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda PAS dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026. Setiausaha Agung Bersatu telah jawapan yang panjang lebar mengenai kronologi peristiwa dan perbincangan dengan Setiausaha Agung PAS sebelum dan selepas kemelut tersebut.
Mesyuarat MT PN pada 16 Mei seterusnya mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Bersatu tanpa ada sebarang bantahan.
Maka, tuduhan bahawa Bersatu mengambil tindakan secara bersendirian dalam menangani krisis politik di Negeri Sembilan adalah tidak benar sama-sekali.
SURAT DARIPADA PAS MENUNTUT PENJELASAN BERSATU
Setiausaha Agung Bersatu telah menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS memohon penjelasan parti mengenai kemelut politik di Negeri Sembilan.
Surat dihantar menerusi pesanan WhatsApp pada 20 Mei 2026 jam 12.55 tengah hari. Setiausaha Agung Bersatu memberikan jawapan ringkas kepada Setiausaha Agung PAS pada jam 12.58 tengah hari bahawa pendirian Bersatu telah dibentangkan dengan jelas dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026.
Bersatu akan menjawab surat Setiausaha Agung PAS secara terperinci.
KEMASUKAN PARTI-PARTI LAIN DALAM PN
Biro Politik Bersatu menyangkal dakwaan bahawa Bersatu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti-parti lain untuk menjadi parti anggota PN.
Pendirian Bersatu ialah PN boleh mengadakan kerjasama pilihanraya (electoral pact) terlebih dahulu dengan parti-parti tersebut dan kemasukan mereka sebagai parti anggota PN boleh dipertimbangkan kemudian.
Inilah pendirian dan keputusan PN sebelum ini. Pendirian ini dikekalkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 dan sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk memperhalusi terma-terma kerjasama pilihan raya termasuk pembahagian kerusi.
Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan dalam mesyuarat MT PN, keputusan ini dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat.
Ini adalah keputusan kolektif yang dibuat secara konsensus demi kepentingan strategik dan kestabilan PN secara keseluruhannya.

Bersatu ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden PAS. Bersatu berpegang kepada prinsip musyawarah dan perbincangan dalam MT PN berhubung perkara dasar dan perkara yang berbangkit dalam kerjasama PN.
Bersatu mendukung semua keputusan MT PN yang dibuat dalam semangat PN yang saling menghormati dan meraikan perbezaan serta berjaya mencapai konsensus demi kesatuan dan kekuatan PN yang dibina sejak enam tahun yang lalu.
Memang menjadi amalan PN bahawa semua perkara penting mengenai dasar dan hala tuju serta isu-isu berbangkit dibawa ke mesyuarat MT, dibahas dan diputuskan secara musyawarah.
Ini telah diamalkan sejak PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adalah tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar MT yang memberi gambaran seolah-olah ada presiden parti yang diberikan kuasa veto.
PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam perjalanan ini tetapi masalah yang besar berjaya dirungkai dengan semangat dan keluhuran prinsip dan kebijaksanaan kepimpinan.
