Puluhan rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal mengadakan protes pada Ahad di tengah Gaza bagi membantah sekatan berterusan Israel dan keadaan bekalan makanan yang semakin merosot, sambil mendesak lintasan dibuka semula serta bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sekatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Peserta mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk yang mengecam keadaan hidup yang semakin buruk serta kekurangan bekalan makanan, selain menuntut akses tanpa sekatan kepada makanan dan ubat-ubatan.
Penyelaras dan jurucakap jawatankuasa puak serta rakyat di kem pelarian Al-Bureij, Ali Al-Shashniya memberitahu Anadolu bahawa penduduk Gaza berdepan keadaan kemanusiaan yang semakin sukar susulan sekatan berterusan dan kekurangan makanan.
Beliau berkata ribuan keluarga dan penduduk yang hilang tempat tinggal bergantung terutamanya kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan harian mereka, sambil memberi amaran keadaan kemanusiaan boleh bertambah buruk jika sekatan terhadap penghantaran bantuan berterusan.
Hassan Rayyan, seorang rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal dari utara Gaza berkata ribuan keluarga hilang tempat tinggal dan sumber pendapatan sepanjang perang, dan kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk keperluan asas.
“Kami mahu hidup dengan bermaruah. Kami kehilangan rumah dan keadaan kemanusiaan kami menjadi amat sukar,” katanya kepada Anadolu.
Sebahagian penunjuk perasaan membawa periuk kosong sebagai simbol krisis makanan yang semakin buruk dihadapi keluarga Palestin di wilayah itu.
Protes itu berlaku ketika sekatan terhadap akses bantuan masih berterusan dan pelaksanaan komitmen utama gencatan senjata termasuk pembukaan semula lintasan Gaza, terus tertangguh.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), 1.6 juta penduduk Gaza yang mewakili 77 peratus daripada populasi, berdepan tahap ketidakjaminan makanan akut yang serius, termasuk lebih 100,000 kanak-kanak serta 37,000 wanita hamil dan menyusukan anak.
Lebih 880 orang terbunuh dan lebih 2,645 cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas diumumkan pada 10 Okt 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
- Bernama- Anadolu
