'Kuasa-kuasa di belakang tabir', kata Anwar
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa bahawa keputusan suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam tidak membenarkannya memberi keterangan "menimbulkan tanggapan ada kuasa-kuasa di belakang tabir" yang menentukan keputusan tersebut.
"Kuasa-kuasa ini cukup berpengaruh sehinggakan suruhanjaya ini tidak akan teragak-agak untuk berbuat apa sahaja bagi menafikan saya memberikan bukti, meskipun bukti tersebut sudah semestinya akan membantu menjelaskan keterangan-keterangan lain yang telah diberikan selama ini," kata Anwar.
Membaca kenyataannya dalam satu sidang akhbar hari ini, Anwar tidak pula menyatakan identiti "kuasa-kuasa di belakang tabir" tersebut.

Semalam, suruhanjaya diraja itu memutuskan tidak akan memanggil Anwar yang juga ketua umum PKR, untuk memberi keterangan.
Ia juga tidak akan memanggil dua lagi pemimpin PKR - R Sivarasa dan Sim Tze Tsin serta dua saksi rahsia yang ditawarkan oleh Anwar, untuk memberi keterangan.
Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohd Noor berkata, keterangan yang hendak diberikan oleh mereka tiada kaitan secara langsung dengan siasatan yang dijalankan.
Anwar berkata, beliau sebelum ini telah memaklumkan kepada suruhanjaya tersebut bahawa beliau boleh mengemukakan bukti-bukti berlakunya rasuah dalam badan kehakiman jika dipanggil sebagai saksi.
"Saya yakin bukti yang saya dapat berikan mampu membantu Suruhanjaya Haidar untuk mendapatkan kebenaran di sebalik kemelut yang melanda sejarah kehakiman Malaysia ini.
"Namun, para pesuruhjaya (terutamanya Tan Sri Haidar) tidak mengambil peluang ini untuk mencari punca sebenar skandal ini, tetapi menghabiskan masa mereka dengan isu-isu prosedur dan tafsiran yang terhad tentang bidangkuasa mereka," kata Anwar.
'Tafsiran terhad'
Mengulas lanjut, Anwar berkata, suruhanjaya tersebut mengambil tafsiran yang terhad terhadap terma-terma rujukan dan sekaligus mengelak menyiasat dakwaan berlaku pengaturan kes.
Anwar berkata, ia adalah bahagian penting dalam klip video tersebut kerana beberapa kes-kes mahkamah, termasuk kesnya sendiri, turut disebut oleh Lingam.
Beliau kemudiannya menyuarakan harapanya agar suruhanjaya itu akan membenarkannya juga memberi keterangan dalam siasatan klip video Lingam tersebut.
“(Tambalah pula) dalam keterangan mereka, Dr Mahathir (Mohamad) dan (Tun Mohd) Eusoff Chin terlupa banyak perkara. Tetapi ingatan saya masih baik.
“Mereka mendakwa sudah tua, letih dan juga tidak sihat. Saya telah memaklumkan kepada suruhanjaya tersebut bahawa (perkara-perkara yang relevan) masih segar dalam ingatan saya. Jangan tunggu terlalu lama, dalam beberapa tahun lagi saya juga mungkin lupa," katanya.
Anwar juga mengingatkan suruhanjaya tersebut bahawa beliau pernah menjadi menteri kabinet ketika itu dan mampu menyediakan maklumat yang Dr Mahathir dan Eusoff tidak ingat.
“Suruhanjaya itu boleh memilih untuk menerima atau menolak keterangan saya, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah (dahulu apa yang saya hendak katakan)," tambahnya.
Mengenai dakwaan Haidar bahawa beliau mendedahkan klip video Lingam 'secara berperingkat-peringkat', Anwar berkata, ulasannya tersebut tidak berasas sama sekali.
“Saya telah menerima video tersebut pada hari Jumaat (25 Januari) selepas saya balik dari Hong Kong," katanya.
Anwar telah mendedahkan 'segmen ketiga' klip video Lingam semalam yang mengandungi dakwaan bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menerima rasuah dari seorang peguam kanan dan seorang ahli perniagaan. Berita asal