Sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin, pagi ini sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.
Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian yang berpunca daripada kerosakan suis landasan itu menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak.
Pengendali pengangkutan awam itu turut mengesahkan kesahihan gambar-gambar insiden berkenaan yang sedang tular melalui media sosial.
“Ketika kejadian, terdapat sebanyak 25 penumpang yang berada di dalam tren terbabit. Penumpang-penumpang tersebut telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi, dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Keselamatan penumpang dan petugas menjadi keutamaan, dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, Rapid KL berkata pelan perkhidmatan alternatif yang diumumkan sebelum ini masih kekal berkuat kuasa bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang termasuk pengaktifan tren alternatif dan bas perantara percuma.
Bagi perkhidmatan tren alternatif, tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit, selain menyediakan tren perantara di antara Stesen Cheras dengan Stesen Bandar Tasik Selatan di Platform 1 setiap lapan minit.
Rapid KL turut menyediakan tren perantara di antara Stesen Ampang dengan Stesen Pandan Jaya di Platform 1, manakala tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan, masing-masing dengan kekerapan lima minit dan empat minit.
Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan di antara Stesen Hang Tuah, Stesen Chan Sow Lin, Stesen Maluri dan Stesen Pandan Jaya serta di antara Stesen Hang Tuah, Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Cheras dengan kekerapan 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.
Rapid KL menasihati penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar menggunakan perkhidmatan tren Laluan Putrajaya agar membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi selain mematuhi arahan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan.
“Pihak Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihati penumpang agar terus merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.
- Bernama
