Seorang lelaki tempatan meninggal dunia selepas ditanduk seekor kerbau ketika membantu ibadah korban dalam kejadian di Kampung Tenang, Ulu Tiram di Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku kira-kira 10 pagi dan mangsa berusia 45 tahun yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, kira-kira 11 malam hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun patah tulang rusuk kiri selepas seekor kerbau secara tiba-tiba bertindak liar dan menanduknya dalam kejadian di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru semalam.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku kira-kira 2 petang dan mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.
Beliau berkata pihaknya juga telah memaklumkan kedua-dua kejadian itu kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.
Mohd Sohaimi pada masa sama menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.
- Bernama
