Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan akses MyKhas jejas sekolah, komuniti dan agensi di Subang - MP

Sekatan akses ke Portal MyKhas di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang dikenakan terhadap pejabat Ahli Parlimen Subang Wong Chen didakwa mula memberi kesan kepada pelbagai pihak di kawasan itu, termasuk sekolah, komuniti berpendapatan rendah, pusat pemulihan dan agensi kerajaan.

Wong berkata pejabatnya masih tidak dapat mengakses portal berkenaan sejak lebih seminggu lalu tanpa sebarang penjelasan rasmi bertulis daripada ICU JPM walaupun beberapa surat dan komunikasi rasmi telah dihantar ke pejabat ICU di Selangor dan Putrajaya.

“Sekatan akses yang berterusan ini bukan lagi sekadar kesulitan pentadbiran kepada pejabat saya.

"Ia kini secara langsung menjejaskan permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang penting untuk rakyat Subang merangkumi pelbagai kategori,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang di Puchong hari ini.

Pada 20 Mei lalu, pejabat Wong dilaporkan mendapati aksesnya ke portal tersebut telah disekat, sekali gus menghalangnya daripada memuat naik permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi sekolah-sekolah di kawasan Subang.

Sekatan itu berlaku tiga hari selepas Wong menghadiri program Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dianjurkan bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas perkembangan itu, Wong berkata pejabatnya sempat memuat naik permohonan PMR melibatkan 40 sekolah sebelum sekatan dikenakan namun beberapa permohonan tambahan gagal diproses selepas akses ke portal berkenaan disekat.

“Antaranya lima sekolah yang terjejas ialah SJKC Chee Wen, SK Seksyen 2 Bandar Kinrara, SK Puchong Jaya 2, SJKT Castlefield, SK USJ 12 dan SK Subang Jaya.

“Antara projek yang tertangguh pula termasuk projek pembaikan pagar sekolah, kerja mengecat bangunan, naik taraf makmal sains, pemasangan papan maklumat serta penambahbaikan kemudahan pelajar,” katanya.

Selain sekolah, Wong berkata beberapa komuniti berpendapatan rendah turut terkesan apabila permohonan PMR yang berkaitan kebajikan dan bantuan kos sara hidup tidak dapat diproses mengikut jadual.

“Dua Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), iaitu PDK Cahaya Kasih dan PDK Wawasan, juga dilaporkan terjejas apabila perancangan pembinaan bilik sensori untuk kanak-kanak autisme dan individu berkeperluan khas tidak dapat diteruskan,” katanya.

Menurutnya, kesan sekatan itu turut dirasai beberapa agensi persekutuan, termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang serta Balai Polis SS17.

Kecewa ramai tanggung akibat

“Selain itu, institusi keagamaan termasuk Surau Al-Mukminin dan Kuil Sri Subramaniar juga tidak dapat melaksanakan projek pembaikan di bawah peruntukan PMR,” tambahnya.

Wong menyifatkan keadaan tersebut sebagai mengecewakan kerana pelbagai pihak terpaksa menanggung akibat daripada sekatan pentadbiran yang dikenakan tanpa notis serta tanpa proses yang jelas.

Katanya, pejabatnya sebelum ini sering diiktiraf, termasuk oleh ICU JPM Selangor, sebagai antara pejabat ahli parlimen yang menguruskan peruntukan kerajaan secara profesional, telus dan teratur.

“Sekiranya sekatan ini bermotifkan politik, saya mahu ia dinyatakan secara bertulis supaya saya boleh mendapatkan nasihat undang-undang sama ada ia merupakan penyalahgunaan kuasa pentadbiran,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa sistem pentadbiran dan peruntukan kerajaan seharusnya digunakan bagi membantu rakyat serta memenuhi keperluan komuniti setempat, bukannya menyukarkan wakil rakyat dalam menjalankan tanggungjawab mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS