Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pemilihan PKR pada tahun lalu – untuk sesi 2025 hingga 2028 – menyaksikan kewujudan dua kumpulan dalam parti itu yang masing-masing diketuai Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli.

Tetapi untuk berlaku adil, PKR bukanlah satu-satunya parti yang bergolak akibat pemilihan atau politik dalaman. Turut bergelora ketika ini ialah Bersatu yang salah seorang pemimpinnya datang dari PKR.

Orang itu ialah Azmin Ali.

Semua orang tahu bahawa sifir politik adalah aneh. Satu tambah satu tidak semestinya menghasilkan dua. Dan sesetengah orang sedang melihat rumus itu terus berkembang dengan apa yang berlaku sekarang.

Menariknya dalam beberapa kumpulan sembang WhatsApp ada pihak yang mentafsir pemilihan PKR lalu sebenarnya ialah proses melemahkan Rafizi dan pengaruhnya.

Umum memahami PKR sebuah parti yang mendukung idealisme menolak kronisme, nepotisme, dan rasuah. Itulah teras perjuangan politik Anwar Ibrahim sejak era reformasi

Sewaktu menjadi pembangkang Anwar juga lantang mengkritik pemimpin kerajaan termasuk Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dilantik sebagai menteri kewangan di bawah kerajaan terdahulu.

Sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH, Anwar mengkritik dasar kewangan kerajaan yang dianggap tidak sensitif terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Pun begitu kebanyakan penyokong berasa keliru apabila Anwar menjadi perdana menteri, Tengku Zafrul itulah yang menjadi pilihannya untuk menduduki salah satu tempat dalam kabinet.

Dia dibawa masuk dalam kerajaan dengan tiket anggota Dewan Negara.

Parti kecil Pulau Pinang

Apabila tempoh sebagai senator berakhir dan Tengku Zafrul terpaksa melepaskan jawatannya sebagai menteri. Namun rezeki bekas ahli perbankan itu tetap baik apabila dia dilantik pula sebagai penasihat perdana menteri – yakni Anwar sendiri.

Kini Tengku Zafrul disebut-sebut bakal dipertaruhkan PKR sebagai calon untuk kerusi parlimen Pandan apabila PRU diadakan nanti.

Kerusi Pandan memang sangat menarik kerana ia dianggap selamat buat PKR. Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah ahli parlimen di situ sebelum ia ditandingi Rafizi pula.

Tengku Zafrul sudah menyatakan kesediaannya untuk bertanding dan mempertahankan kerusi PKR itu dan tidak ragu-ragu untuk berdepan sesiapa sahaja.

Penyokong lama sebelum itu memang sudah keliru apabila Wan Azizah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR. Ia berlaku bertahun-tahun sebelum Nurul Izzah menjadi Timbalan Presiden PKR.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Terkait langkah Rafizi, dia sudahpun bergerak dalam parti baru bersama dengan seorang lagi bekas pemimpin kanan PKR iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jika Rafizi kalah bagi persaingan jawatan timbalan presiden, Nik Nazmi pula gagal mempertahankan jawatan naib presiden.

Kini kedua-dua mereka bergerak dalam Bersama selepas meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Bersama – atau nama penuhnya Parti Bersama Malaysia – merupakan sebuah organisasi kecil yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 2 Dis 2016. Asalnya ia dikenali sebagai Malaysian United Party (Parti MU).

Pengasas terdiri daripada gabungan NGO komuniti Cina yang mahu bertindak sebagai kuasa ketiga. Namun sejak penubuhannya, nama parti itu sangat jarang disebut, atau malah mungkin tidak pernah didengar oleh sesiapa.

Disertai pelbagai kaum

Pada 17 Mei lalu Rafizi dan Nik Nazmi menjenamakan semula termasuk memperkenalkan lambang baru iaitu kancil bagi melambangkan kepintaran dan kelincahan.

Bersama memperjuangkan politik progresif baru dan menawarkan reformasi alternatif berteraskan teknokrat dan polisi kepada rakyat.

Konsep dan struktur keahlian juga berubah dengan mengambil cara bary dan mengurangkan sistem hierarki lama. Pemilihan calon pilihan raya pula dibuat mengikut merit.

Jawatan seperti ketua bahagian atau cawangan tiada bagi mengelakkan perebutan jawatan.

Betul juga langkah Bersama itu. Realiti hari ini ialah, kadang-kadang ketua bahagian itu memang tidak boleh diharap dan berlagak bukan main. Padahal khidmat kepada rakyat sangat menyedihkan.

Majoriti ahli Bersama terdiri daripada kumpulan usia pertengahan sehingga warga emas. Atau dalam kelompok Gen Y dan Gen X.

Kebanyakannya pekerja profesional, kakitangan awam, dan golongan berkeluarga.

Dari segi pecahan kaum, rekod awal ahli Bersama menunjukkan ia terdiri daripada 62 peratus Melayu, 15 peratus Cina, 14 peratus India, dan selebihnya bumiputera Sabah atau Sarawak serta lain-lain.

Nampaknya sambutan yang diterima Bersatu memberangsangkan. Walaupun PKR menyatakan mereka tidak bimbang, respons orang ramai sepatutnya menjelaskan sebaliknya.

Kena dengar akar umbi

Dikatakan dalam tempoh lima hari pertama pendaftaran, Bersama menarik lebih 18,000 ahli baru dengan majoritinya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti.

Menambah ‘kemeriahan’ ialah sejumlah pemuka dan ahli PKR menyahut tawaran Rafizi.

Dalam keadaan semasa, kita tidak boleh memandang remeh Bersama. Suka atau tidak, nampaknya ia mampu memberi kesan bukan saja kepada PKR malah parti lain. Bahkan turut terjejas ialah PH.

Puncanya bukanlah kerana Bersama sangat sebaliknya rekod PKR dan PH sendiri yang – entah secara sedar atau tidak – melanggar janji sendiri. Mereka dengan ‘gigih’ berusaha mengelirukan penyokong masing-masing.

Ujian awal akan dilalui dalam pilihan raya negeri dengan Johor nampaknya menjadi medan pertama.

Benar, PKR ialah parti berpengalaman namun perlu diingat, dinosaur yang ganas juga boleh pupus dan digantikan dengan ‘kuasa’ lain yang mungkin dilihat lebih kecil dan lemah secara relatif.

Turut menjadi perkiraan dan penentu dalam pilihan raya ialah golongan atas pagar yang semakin ramai sekarang.

Para pemimpin PKR perlu mendengar pandangan akar umbi dan tidak membuat keputusan-keputusan syok sendiri yang bakal membawa kejatuhan sendiri.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS