Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seorang maut dalam kebakaran bekas pawagam
Diterbitkan:  May 31, 2026 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah premis hiburan yang beroperasi di bangunan bekas pawagam Odeon di Jalan Penang, George Town malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata mangsa dipercayai terperangkap di dalam bangunan dua tingkat itu ketika kebakaran berlaku.

"Mayat lelaki yang dipercayai pekerja di situ ditemukan di pintu keluar bangunan berkenaan selepas pihak bomba selesai memadamkan kebakaran tersebut kira-kira jam 11.15 malam.

“Mangsa dipercayai terperangkap sebelum cuba keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Shoki berkata berdasarkan siasatan awal, premis terbabit tidak beroperasi kerana dalam proses pengubahsuaian.

Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 8.50 malam sebelum jentera bersama-sama anggota bomba dihantar ke lokasi.

"Sebaik bomba tiba, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan sebagai Midnight Black terletak di bangunan bekas pawagam Odeon.

"Setakat pukul 10.45 malam ini, anggaran kemusnahan akibat kebakaran ialah kira-kira 50 peratus dan pasukan keluaran operasi sedang menjalankan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman api di lokasi kejadian," menurut kenyataan itu malam tadi.

Menurut PGO JBPM Pulau Pinang, seramai 25 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa aset termasuk jentera LFRT, FRT, EMRS dan aerial ladder platform (ALP) serta dibantu lebih 10 pasukan bomba sukarela (PBS).

Belum mula operasi

Selain asap tebal yang boleh dilihat hingga jarak lima kilometer, kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kawasan bandar raya George Town.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung, Lim Hui Ying, berkata dia bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan tentang kebakaran yang berlaku di bangunan tersebut.

"Terima kasih kepada Balai Bomba Lebuh Pantai dan PBS yang bertindak pantas mengawal kebakaran.

“Penghargaan juga diberikan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam operasi serta penyelarasan di lokasi kejadian.

“Semoga segala urusan susulan berjalan dengan lancar," kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerusi hantaran Facebooknya.

Chow pula menerusi hantaran di Facebook turut mengucapkan penghargaan kepada semua anggota bomba dan responden kecemasan atas profesionalisme dan tindakan pantas masing-masing dalam melindungi penduduk dan harta benda berdekatan.

"Saya dimaklumkan bahawa anggota bomba bertindak pantas untuk mengawal kebakaran dalam tempoh yang singkat, berjaya mencegahnya daripada merebak ke bangunan bersebelahan, termasuk di sepanjang Jalan Sri Bahari.

"Saya difahamkan bahawa premis tersebut belum memulakan operasi pada masa kebakaran berlaku, punca kejadian dan jumlah kerugian akan ditentukan susulan siasatan lanjut oleh JBPM," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Bangunan yang pernah menempatkan antara pawagam paling ikonik di Pulau Pinang itu asalnya dikenali sebagai Theatre Royal sebelum ditukar kepada King's Theatre dan kemudiannya Odeon Cinema.

Ia menjadi sebahagian daripada landskap hiburan Pulau Pinang sejak awal abad ke-20.

Pada 1940, pawagam tersebut menjalani proses pemodenan besar-besaran sebelum dibuka semula sebagai Odeon Cinema dengan kemudahan tayangan, sistem bunyi dan penyaman udara yang canggih pada zaman itu.

Sepanjang beroperasi, pawagam itu menayangkan pelbagai genre filem termasuk produksi Hollywood, filem klasik, filem berbahasa Cina, filem aksi Hong Kong serta filem Tamil dan Hindi.

Pawagam berkenaan menamatkan operasinya pada 31 Julai 2014, sekali gus menandakan berakhirnya era satu daripada pawagam skrin tunggal terakhir di Malaysia yang memberikan tumpuan kepada tayangan filem India.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS