Di sebuah kawasan perindustrian lama di Subang Jaya, berhadapan kawasan komersial SS14 yang sibuk, tiga rumah ibadat bukan Islam menjadi asas kerohanian bagi penganut Sikh, Hindu dan Buddha di Lembah Klang.
Sempena Hari Wesak hari ini, Persatuan Buddhist Subang Jaya menganjurkan sambutan yang turut disokong jirannya, Kuil Sri Vatharaja Perumal dan Gurdwara Sahib Subang — ketiga-tiganya terletak di Persiaran Kewajipan, SS13.
Adun Subang Jaya Michelle Ng, dalam ucapannya, menyorot perkembangan pembinaan kawasan parkir terbuka baru dengan kapasiti 90 kereta di belakang tiga bangunan itu, yang dibiayai melalui sumbangan swasta dan bertujuan menyelesaikan masalah lama dihadapi penganut pelbagai agama.
“Tiga rumah ibadat ini merupakan institusi agama yang penting dan pusat tumpuan komuniti.

“Ketika sambutan keagamaan besar dan acara komuniti penting seperti sambutan Puratasi, Vaisakhi, Hari Wesak dan majlis perkahwinan, rumah ibadat ini sering menerima ribuan penganut dan pengunjung pada masa sama.
“Ada masanya, tarikh sambutan ini bertembung, menyebabkan limpahan kenderaan luar biasa sehingga menimbulkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan bukan sahaja penganut, tetapi juga pengguna jalan raya lain,” katanya.
Wakil rakyat DAP dua penggal itu mengimbas bagaimana Adun sebelumnya, yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, memulakan usaha menangani masalah parkir itu.
Yeoh meninggalkan kerusi DUN Subang Jaya dan menjadi ahli parlimen Segambut pada 2018.

Selepas beberapa langkah jangka pendek tidak berkesan, Ng berkata pejabatnya memutuskan untuk mengusahakan kerjasama strategik dengan sektor awam, yang membawa kepada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai RM4 juta oleh Sunway Group.
Mengiktiraf sokongan masyarakat, Ng berkata: “Saya sendiri seorang Kristian, dan kita juga mempunyai wakil (di sini hari ini) daripada masyarakat Sikh, Hindu dan Muslim bersama-sama dalam solidariti.
“Saya percaya inilah yang menjadikan Subang Jaya istimewa. Saya ingin memuji kepimpinan semua rumah ibadat ini kerana memperjuangkannya bersama kami.”
Turut hadir hari ini wakil dari beberapa masjid berhampiran, yang dijemput menyertai aktiviti bukan keagamaan lain termasuk pemeriksaan kesihatan percuma.
Garis panduan kerajaan negeri
Pada sidang media kemudian, Ng mengulangi garis panduan kerajaan Selangor 2025 berhubung kelulusan rumah ibadat bukan Islam di kawasan komersial hanya akan terpakai kepada pembangunan masa depan dan tidak menjejaskan zon komersial sedia ada.
“Kerajaan negeri juga masih membenarkan rumah ibadat bukan Islam di kawasan komersial, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Setakat kelulusan pihak berkuasa tempatan, mereka (kerajaan negeri) sedang melihat usaha memudahkan proses bagi membantu rumah ibadat bukan Islam mematuhi syarat dan menjadikannya lebih baik,” katanya.

“Itu memerlukan kami menyelaras dengan kumpulan agama berbeza, tetapi sebelum kenyataan pun dikeluarkan, kumpulan-kumpulan itu sudah dilibatkan dan bersedia untuk terbabit dalam proses memperhalusi proses kelulusan semasa oleh pihak berkuasa tempatan.
“Ringkasnya, status quo kekal. Pembangunan baru masih boleh beroperasi di lot komersial tertakluk kepada kelulusan majlis, dengan syarat baru sedang diperincikan,” kata Ng.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menyuarakan kebimbangan berhubung dua peruntukan dalam garis panduan yang diluluskan pada mesyuarat exco negeri pada 12 Nov 2025, dengan berkata ia boleh membawa implikasi besar terhadap amalan agama di seluruh Selangor.
Dia menyatakan Perenggan 6 di bawah “KM: 4-3 Tempat Ibadat Selain Islam” menyebut “Penempatan dalam kawasan yang ditetapkan sebagai zon komersial tidak dibenarkan”.
Semalam, Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao kerajaan Selangor berkata garis panduan itu bertujuan memudahkan perancangan kawasan pembangunan baru, supaya rumah ibadat ditempatkan berhampiran kawasan kediaman.
