Selepas lebih dua dekad menjadi dokumen pengenalan utama rakyat Malaysia, MyKad kini melangkah ke satu lagi fasa baharu menerusi pengenalan MyKad Struktur Baharu yang dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih, bagi memperkukuh perlindungan identiti dan data peribadi rakyat dalam era digital.
Pelaksanaan MyKad Struktur Baharu secara berfasa bermula bulan ini, menandakan kesinambungan usaha kerajaan dalam mempertingkatkan keselamatan MyKad yang diperkenalkan pada 5 Sept 2001, agar kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran keselamatan siber serta ancaman pemalsuan dokumen.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan berkata pengenalan MyKad generasi baharu itu, bertujuan memperkukuh sistem identiti nasional menerusi penggunaan teknologi dan ciri keselamatan terkini yang dipertingkatkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Badrul Hisham Alias berkata MyKad Struktur Baharu, akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
Penambahbaikan itu dijangka mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Pengeluaran dan penggantian MyKad Struktur Baharu dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Sebagai permulaan, JPN memaklumkan pengeluaran MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih, melalui sistem janji temu sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara.
Pendekatan berfasa itu bertujuan memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan teratur, serta mengelakkan kesesakan di kaunter.
Sehubungan dengan itu, JPN menasihati orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar MyKad masing-masing, memandangkan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dan tidak melibatkan pertukaran serentak.
JPN menetapkan keutamaan pengeluaran kepada pemohon yang membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1.
“Pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” menurut kenyataan JPN.
Dalam masa sama, JPN memberi jaminan bahawa dokumen pengenalan sedia ada, masih sah digunakan bagi semua urusan rasmi termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan, selain menjamin keselamatan data dan maklumat peribadi pemegang MyKad terus dilindungi.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN.
Pengenalan MyKad Struktur Baharu merupakan episod terbaharu dalam evolusi sistem identiti negara yang bermula sejak 1948, menerusi penggunaan kad pengenalan berasaskan kertas di Semenanjung sebelum diperluas ke Sabah dan Sarawak.
Sistem itu kemudiannya berkembang kepada penggunaan kad plastik pada sekitar 1960-an, bagi meningkatkan ketahanan dokumen berkenaan, sebelum kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan pada 1980-an dengan ciri keselamatan yang lebih baik.
Malaysia seterusnya mencipta sejarah pada 2001 menerusi pelancaran MyKad, yang diiktiraf sebagai antara kad pintar pelbagai guna terawal di dunia dan teknologi itu dipertingkatkan lagi pada 2012 dengan penggunaan cip keselamatan yang lebih maju, sebelum pelaksanaan MyKad Struktur Baharu hari ini menjadi kesinambungan kepada evolusi sistem identiti negara yang berkembang seiring keperluan semasa.
- Bernama
