Pemimpin Umno menempelak DAP yang sering mengecam tindakan menawarkan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pengaruh politik, namun pada masa sama didakwa turut berbuat demikian.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata perkara itu terdedah apabila Adun Skudai Marina Ibrahim menolak tawaran daripada DAP ketika ditawarkan bertanding di DUN Tiram pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC. Pada DAP itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis
“Tapi DAP lagi teruk. Tawaran dibuat sebelum menang pilihan raya,” sindirnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Marina sebelum ini membayangkan terdapat faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi Skudai.
Dalam hantaran Facebook yang mengumumkan persaraannya semalam, Marina membuat ulasan dengan berkata:
“Saya buat keputusan ini setelah berbincang dengan semua sukarelawan saya dan rakan kerja.
"Kalau ada yang cakap pengaruh dalam parti lebih penting dari kuat kerja. Takpe, saya tahu tempat saya,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Susulan itu, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mendedahkan parti itu merancang memindahkan Marina ke satu lagi kerusi bandar pada pilihan raya Johor akan datang — dengan jawatan pengerusi badan berkanun disediakan sebagai pelan sandaran.
Teo membayangkan rundingan kerusi PH Johor sedang berlangsung, selain menyatakan kekesalan terhadap keputusan Marina yang diumumkan untuk bersara daripada politik.
Mempertahankan rancangannya, Teo berkata perkara itu telah dijelaskan kepada ahli politik berusia 38 tahun itu, dengan perancangan supaya dia membina kehadirannya sebagai wakil rakyat terlebih dahulu sebelum menjadi sebahagian daripada rancangan DAP untuk meluaskan pengaruh ke kerusi bukan tradisi.
Difahamkan Teo merujuk kandungan sepucuk surat yang didakwa daripada Marina bertarikh 30 Mei, bagi menolak secara rasmi tawaran didakwa untuk bertanding di kerusi DUN Tiram yang kini disandang Umno, serta tawaran dilantik ke jawatan berkaitan kerajaan jika dia kalah.
Dalam perkembangan itu Puad menyifatkan tindakan DAP itu lebih teruk kerana tawaran dibuat sebelum menang pilihan raya.
“Lainlah sikit jika dilantik selepas pilihan raya untuk mengiktiraf kedudukannya sebagai YB kerana tidak dilantik exco atau menteri.
“Janji Teo Nie Ching itu membuktikan DAP ada pengaruh besar terhadap PMX (Anwar Ibrahim). Itu belum cakap pasal Selangor dan Pulau Pinang.
“Justeru kita cabar DAP, dedahkan YB dan pemimpin DAP yang bukan YB tetapi pegang jawatan GLC pusat dan negeri,” katanya.
