Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekayaan bilionair Rusia bertambah hampir AS$22b tahun ini
Diterbitkan:  Jun 2, 2026 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

GLOBAL |  Jumlah kekayaan usahawan terkaya Rusia meningkat sebanyak AS$21.857 bilion sejak awal 2026, menurut pengiraan berdasarkan data Bloomberg Billionaires Index (BBI), lapor Sputnik/RIA Novosti.

Indeks itu dikira berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat milik bilionair.

Bagi sesetengah syarikat, anggaran dibuat berdasarkan nisbah seperti permodalan pasaran kepada EBITDA atau harga saham kepada pendapatan sesaham.

BBI menjejaki 500 individu terkaya dunia dengan 20 daripadanya merupakan warga Rusia. Mereka memiliki jumlah kekayaan keseluruhan mencecah AS$320.8 bilion setakat 1 Jun.

Usahawan AS yang juga pemilik Tesla dan SpaceX, Elon Musk, kekal sebagai individu terkaya dunia dengan kekayaannya meningkat sebanyak AS$116 bilion sejak awal tahun menjadi AS$735 bilion.

Senarai ahli perniagaan terkaya Rusia diterajui pemegang saham majoriti syarikat keluli dan Pengerusi Severstal, Alexey Mordashov, dengan nilai kekayaan bersih AS$29.9 bilion, meningkat AS$3.66 bilion sejak awal tahun.

Dia diikuti seorang daripada pemegang saham utama Norilsk Nickel, Vladimir Potanin, dengan kekayaan AS$28.3 bilion selepas mencatat peningkatan AS$1.94 bilion pada tahun ini dan AS$226 juta bagi tempoh laporan terbaru.

Tempat ketiga diduduki ketua pegawai eksekutif syarikat tenaga Novatek, Leonid Mikhelson, dengan jumlah kekayaan AS$27.8 bilion, meningkat AS$4.15 bilion sejak awal tahun.

Pengasas firma pengeluar baja EuroChem dan syarikat tenaga arang batu SUEK, Andrey Melnichenko, berada di tempat keempat dengan kekayaan bersih AS$24.6 bilion. Dia mencatat peningkatan terbesar dalam kalangan kumpulan terbabit pada tahun ini iaitu sebanyak AS$5.63 bilion.

Melengkapkan senarai lima teratas ialah pemegang saham majoriti syarikat keluli dan Pengerusi Novolipetsk (NLMK), Vladimir Lisin, dengan kekayaan dianggarkan AS$23.5 bilion. Bagaimanapun dia mencatat penyusutan kekayaan sebanyak AS$198 juta sejak awal tahun, meskipun meningkat kecil sebanyak AS$9.01 juta dalam sehari.

- Bernama/Sputnik/Ria Novosti


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS