Bekas ahli politik DAP, Ronnie Liu, memberi amaran bahawa "kontroversi" berkaitan pengumuman mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim untuk bersara daripada politik boleh menjejaskan prestasi parti itu pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang.
Menyifatkan bahawa isu itu telah berkembang daripada "krisis perhubungan awam" kepada "ancaman asas kepada identiti jenama DAP" sebagai parti reformis dan berbilang kaum, Liu memberi amaran bahawa kekurangan langkah yang mencukupi untuk menangani isu itu boleh memudaratkan ahli komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Antara kebimbangan lain, Liu memberi amaran bahawa usaha mendekati orang Melayu parti itu boleh tertangguh selama bertahun-tahun sambil mengasingkan kumpulan masyarakat sivil yang pernah menegakkan DAP sebagai "simbol harapan" untuk perubahan politik di negara ini.
Kerosakan itu, tambahnya dalam catatan Facebook hari ini, akan paling ketara dirasai di Johor, di mana DAP telah cuba mengukuhkan kedudukan dan berkembang ke wilayah baru.
Pada 31 Mei, Marina mengumumkan persaraannya daripada politik selepas hanya satu penggal memegang jawatan, dengan ahli politik wanita berusia 38 tahun itu kemudiannya menekankan bahawa keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan dengan pasukannya dan bukannya konfrontasi politik yang berterusan.
Mengulas pengumuman itu, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, mendedahkan rancangan awal parti itu untuk memindahkan Marina ke kerusi DUN bandar lain dalam pilihan raya Johor - dengan jawatan pengerusi di badan berkanun yang disediakan sebagai pelan sandaran.
Marina sejak itu enggan mengesahkan kesahihan surat bertarikh 30 Mei yang dikatakan dihantar kepada Teo, yang didakwa menyatakan dia menolak tawaran untuk meninggalkan Skudai dan bertanding di kerusi DUN Tiram, serta cadangan agar dilantik ke jawatan di badan berkanun sekiranya kalah.
Dalam catatan Facebook berasingan semalam, Liu mempersoalkan pendekatan DAP yang menurutnya "mementingkan diri sendiri" dengan "memberi ganjaran" kepada calon yang tewas di peti undi dengan jawatan berkaitan kerajaan.
“Mungkin Marina tidak mahu terlibat dalam pengaturan sedemikian. Jika ya, keputusannya untuk meninggalkan parti secara senyap dan terhormat wajar dihormati,” katanya.
“Ramai ahli politik mendapati sangat sukar untuk melepaskan jawatan. Mereka mahu kekal sebagai YB selama mungkin.
“Marina kelihatan berbeza, dan itulah sebabnya saya rasa terdorong untuk bersuara bagi pihaknya. DAP harus merenungkan secara serius bagaimana ia melayan pemimpinnya yang lebih muda dan lebih berpotensi,” tambahnya.
Dalam catatannya hari ini, bekas Adun Sungai Pelek itu menekankan bahawa pengumuman Marina harus dianggap sebagai “kemunduran politik yang ketara” bagi DAP kerana dia dianggap sebagai salah satu “aset paling berharga” parti itu.

“Marina merupakan salah seorang daripada sembilan Adun DAP yang berbangsa Melayu di seluruh negara, dan keupayaannya untuk berhubung dengan orang Melayu bandar dan separa luar bandar menjadikannya tonggak kepada penjenamaan ‘parti berbilang kaum’ DAP,” katanya.
“Orang Melayu melihat tawaran untuk menghantar Marina ke ‘misi bunuh diri’ di Tiram (kubu kuat BN), sambil menjanjikan kedudukan jawatan di badan berkanun sebagai penggunaan tidak wajar seorang pemimpin Melayu untuk pengembangan pilihan raya.
“Ia mengukuhkan naratif bahawa DAP melihat ahli politik Melayu sebagai ‘alat’ dan bukannya rakan kongsi tulen, menjauhkan pengundi Melayu yang sederhana,” tegasnya.
Liu berkata lawan DAP berkemungkinan akan menjadikan insiden itu sebagai senjata dan menguatkan polarisasi kaum yang boleh menyukarkan DAP untuk memenangi pengundi Melayu yang berpengaruh di kawasan pilihan raya campuran.
Liu juga menuduh DAP mengkhianati janji pilihan rayanya.
Katanya, ini kerana kumpulan masyarakat sivil - termasuk Bersih dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) - adalah antara "penyokong paling lantang" DAP semasa era reformasi apabila parti itu dilihat sebagai benteng menentang rasuah dan kronisme.
“Kritikan DAP yang telah lama berlarutan terhadap ‘pelantikan politik untuk kesetiaan’ oleh BN kini kedengaran sia-sia, apabila masyarakat sivil menuduh parti itu mengamalkan taktik politik yang sama.
“Pemimpin masyarakat sivil mungkin menarik balik sokongan awam, sekali gus mengurangkan kredibiliti ‘tadbir urus bersih’ DAP,” tambahnya.
Selain potensi kekecewaan di kalangan belia dan sukarelawan, Liu, yang meninggalkan DAP pada 2023, turut memberi amaran isu itu boleh merosakkan perpaduan dalaman parti dan semangat calon.
Mendakwa bahawa autoriti Teo sebagai pengerusi DAP Johor telah dilemahkan, dia berkata ada kemungkinan berlaku perebutan kuasa dalaman yang mengganggu persediaan pilihan raya.
Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri, membuka jalan untuk pilihan raya negeri ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pencalonan, pengundian awal dan pengundian dalam beberapa hari akan datang.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini berikrar bahawa gabungannya akan bertindak balas terhadap sebarang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dengan langkah serupa di Negeri Sembilan.
