Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersama akan tanding di Johor, kemungkinan sasar kerusi DAP, Umno

Pemimpin bersama Bersama, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa parti mereka akan bertanding pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata, mesyuarat dengan wakil dan ahli-ahli Bersama dari Johor dijadualkan lewat hari ini untuk membincangkan kerusi yang akan mereka tandingi.

Tiga anggota parlimen PKR di Johor diketahui bersekutu dengan mereka, adalah Akmal Nasrullah Nasir (Johor Bahru), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Akmal - dilihat secara meluas sebagai anak didik Rafizi - dan Syed Ibrahim dibawa masuk ke dalam pentadbiran Madani Disember lalu, masing-masing berkhidmat sebagai menteri ekonomi serta timbalan menteri menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar.

Rafizi berkata bahawa sekutu mereka dalam PKR diarahkan untuk kekal dalam kerajaan buat masa ini bagi memastikan kestabilan, dan hanya akan menyertai Bersama apabila Parlimen dibubarkan.

Spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya negeri Johor juga akan mencetuskan pilihan raya umum, jadi tidak jelas jika Akmal dan Syed Ibrahim akan meninggalkan PKR sekiranya pilihan raya Johor tidak bertembung dengan pilihan raya persekutuan.

Bagaimanapun, Bersama kemungkinan mahu bertanding di kawasan parlimen mereka.

Satu kerusi yang kemungkinan besar akan ditandingi oleh Bersama ialah Stulang, iatu satu daripada dua kerusi DUN negeri di Johor Bahru.

Menurut data pilihan raya, Stulang adalah kerusi majoriti bukan Melayu dengan 53.3 peratus pengundi Cina, 4.9 peratus India, dan 37.8 peratus pengundi Melayu.

DAP memegang kerusi itu sejak 2013.

Sementara itu, Bersama juga mungkin bertanding di kerusi DUN Johor Bahru yang kedua iaitu Larkin.

Di atas kertas, kerusi ini - sebelum ini dikenali sebagai Tanjung Puteri - ialah kubu kuat Umno yang hanya kalah sekali pada 2018 kepada Bersatu.

Dalam pemilihan negeri 2022, Umno memenangi kerusi itu dengan 41.8 peratus undi, manakala Bersatu menduduki tempat kedua dengan 25.7 peratus undi. PKR dan Muda sementara itu masing-masing memperoleh 16.8 peratus dan 12.9 peratus undi untuk gabungan 29.7 peratus.

Pilihan raya negeri Johor 2022 mencatatkan kemenangan besar buat Umno yang sebahagiannya disebabkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.PKR hanya memenangi satu kerusi iaitu Bukit Batu.

Bagaimanapun, Umno kehilangan banyak sokongan apabila pengundi pada pilihan raya umum pada lewat November tahun itu menyerahkan Pakatan Harapan 15 daripada 26 kerusi parlimen. Tujuh daripadanya dimenangi oleh PKR.

Analisis data daerah mengundi menunjukkan bahawa dalam pertandingan kerusi parlimen Johor Bahru, PKR menduduki tempat teratas di Larkin dalam pertandingan empat penjuru, memperoleh 39.7 peratus undi berbanding Umno (31.1 peratus), Bersatu (27.2 peratus), dan Pejuang (2 peratus).

Kerusi lain yang dimenangi oleh Umno dalam pemilihan negeri lalu tetapi PKR memenangi undi terbanyak di peringkat Parlimen semasa pemilihan umum 2022 termasuk Gambir dan Serom di Ledang.

Bersama juga mungkin menyasarkan Tangkak di Ledang, yang kini dipegang oleh DAP; Buloh Kasap (Umno) dan Jementah (DAP) di Segamat; serta Bukit Batu (PKR) di Kulai, Layang-Layang (Umno) di Simpang Renggam, dan Kempas (Umno) di Pulai.

Buloh Kasap, Layang-Layang, dan Kempas ditandingi oleh PKR dalam pemilihan negeri 2022.

Sementara itu, selain mengumumkan rancangan untuk bertanding di Johor, Rafizi dan Nik Nazmi hari ini juga mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan siri jelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia, yang dinamakan "Jelajah Kancil".

Mereka akan bermula di Teluk Danga, Johor Sabtu ini, diikuti Melaka keesokan harinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS