Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Perlis kesal Bersatu terus nafi peranan jatuhkan MB
Diterbitkan:  Jun 3, 2026 9:37 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Pemuda PAS Perlis kesal dengan tindakan Bersatu yang terus menafikan pembabitan Adun parti itu dalam usaha yang didakwa bertujuan menjatuhkan bekas menteri besar Perlis daripada PAS Shukri Ramli.

Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun (gambar bawah) berkata penafian tersebut bercanggah dengan pengakuan yang didakwa dibuat oleh tiga Adun PAS yang kemudiannya terhenti keahlian dalam parti itu.

Membalas kenyataan Biro Politik Bersatu baru-baru ini, Haziq menegaskan pendirian Pemuda PAS Perlis berasaskan fakta dan rekod yang didakwa wujud berhubung isu berkenaan.

“Saya kesal dengan tindakan Bersatu yang terus-menerus menafikan peranan Adun-Adun mereka dalam merancang usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis daripada PAS.

“Penafian berulang kali terhadap fakta yang telah direkodkan hanya akan memanjangkan kemelut dalam PN.

“Demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerjasama politik yang dibina atas dasar kejujuran dan amanah, semua pihak seharusnya berani berterus terang serta bertanggungjawab terhadap tindakan yang telah dilakukan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Haziq yang juga Adun Beseri mempersoal penafian Bersatu susulan pendedahan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyentuh beberapa isu yang didakwa menjejaskan semangat setiakawan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Abdul Hadi membangkitan antaranya, isu berkaitan pertukaran menteri besar Perlis dengan pelantikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.

Tiga Adun yang dirujuk ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Mengulas lanjut, Haziq mendakwa ketiga-tiga Adun tersebut secara terbuka mengakui telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bersama Adun Bersatu pada satu pertemuan bersama Dewan Harian PAS Pusat pada 21 Disember tahun lalu, yang turut dihadiri semua Adun PAS Perlis.

Menurutnya, pengakuan itu bukan sahaja didengar oleh mereka yang hadir, malah direkodkan serta diminitkan dalam perbincangan berkenaan.

“Justeru, adalah menghairankan apabila Bersatu terus memilih untuk menafikan perkara yang telah diakui sendiri oleh individu-individu yang terlibat secara langsung dalam usaha tersebut.

“Pemuda PAS Perlis berpegang kepada fakta dan rekod yang wujud.

“Isu ini bukan lagi soal persepsi atau dakwaan politik, tetapi berkaitan pengakuan yang telah dibuat dalam satu pertemuan rasmi,” katanya.

Haziq berkata isu tersebut wajar ditangani secara terbuka dan bertanggungjawab bagi mengelakkan polemik berpanjangan dalam gabungan pembangkang itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS