Polis menahan 10 suspek dalam beberapa serbuan bagi membantu siasatan berkaitan kes lelaki ditetak sehingga maut di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian pada 21 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menahan suspek lelaki berusia 18 hingga 28 tahun itu di sekitar Pontian dan Batu Pahat pada 21 Mei hingga kelmarin.
"Polis turut merampas kenderaan, pakaian, pelitup muka dan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hoo berkata semakan mendapati enam suspek memiliki rekod jenayah dan dua lagi mempunyai rekod jenayah serta narkotik, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis benzo.
Dia berkata enam suspek direman 15 hari bermula 21 Mei lalu, manakala seorang lagi direman tujuh hari bermula 29 Mei. Dua yang lain direman tujuh hari bermula 1 Jun, dan seorang lagi direman tujuh hari bermula 3 Jun.
Katanya mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kertas siasatan, katanya, kemudian dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Johor semalam, dan tuduhan terhadap tujuh suspek serta lima lagi yang masih bebas di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hoo berkata tiga suspek dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis percaya motif kejadian mempunyai hubung kait dengan elemen kumpulan kongsi gelap, termasuk kegiatan merekrut ahli baru," katanya,
Justeru, polis menasihati orang ramai terutamanya golongan muda agar tidak terjebak dengan kumpulan kongsi gelap dan menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis yang berhampiran serta talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan IPK Johor 07-2212999.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditemukan keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian.
Mangsa yang mengalami cedera parah pada tangan serta kaki kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama
