Bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, menyambut baik saranan dibawa PAS yang mengajak agar Muafakat Nasional 2.0 dijayakan oleh parti-parti Melayu Islam di negara ini.
Annuar yang kini menjadi salah seorang pemimpin kanan PAS malah mengemukakan ‘formula’ yang boleh dipertimbangkan oleh Umno untuk memungkinkan kerjasama tersebut berjaya dicapai.
Dia menambah ketika ini Umno sedang menggerakkan gagasan Rumah Bangsa untuk mengajak lebih ramai orang – termasuk bekas ahli parti berkenaan – bersama dengan mereka.
Katanya, ada persamaan wujud dalam Muafakat Nasional dan Rumah Bangsa iaitu memerlukan persefahaman dan penyatuan khususnya melibatkan Umno dan PAS, atau PN dan BN.
“Pada saya, nama tidak penting. Jika ada persetujuan Umno dan PAS, gunalah nama Rumah Bangsa atau Musyawarah Nasional yang pernah diutarakan Umno,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Menurut Annuar, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh jadi permulaan kepada pelaksanaan gagasan berkenaan.
Caranya, menurut Ketua Penerangan PN dan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu lagi, diusahakan pembahagian kerusi yang dibuat berdasarkan sesebuah negeri.
Johor sebagai negeri yang menjadi kubu kuat Umno, kata Annuar, parti itu boleh bertanding sehingga 90 peratus kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu, manakala selebihnya ditandingi oleh PAS.
“Kelantan sebagai kubu PAS perlu beri 10 peratus hingga 20 peratus kepada Umno dan PAS ambil 80 peratus hingg 90 peratus.
“Jika perlu boleh pertimbangkan PRN serentak Kelantan dan Johor,” katanya yang menegaskan cadangan itu adalah bersifat peribadi.

Semalam PAS mencadangkan agar parti Melayu Islam khususnya Umno menjayakan Muafakat Nasional 2.0 ketika Johor bakal berdepan dengan PRN tidak lama lagi.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi PN menambah semua perubahan boleh dicapai apabila wujud persefahaman dan toleransi sesama parti politik utama berteraskan Melayu Islam di negara ini.
Gesaan itu dibuat ketika hubungan PAS dengan satu lagi komponen PN – Bersatu – berada dalam keadaan tegang ekoran pelbagai isu yang melanda termasuk pertukaran menteri besar di Perlis dan rasa tidak puas hati melibatkan jentera pilihan raya.
Annuar berkata penting untuk orang Melayu dan Islam serta partinya bermuafakat.
Justeru, katanya, para pemimpin orang Melayu Islam mesti berani meneroka muafakat tersebut atas dasar persamaan matlamat dan pada masa sama mengetepikan perbezaan dan sejarah lampau.
“Sekiranya Umno menolak tawaran Timbalan Presiden PAS itu dan memilih untuk terus berkerjasama dengan DAP dan PKR seperti sekarang, PAS perlu mengambil tanggungjawab membentuk muafakat besar tanpa Umno menuju PRU ke-16.
“Barangkali di sini boleh dibentuk Muafakat Nasional 2.0,” katanya.
