Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada Madani pada PRN Johor: Zahid tegaskan BN tanding semua kerusi
Diterbitkan:  Jun 4, 2026 11:29 AM
Dikemaskini: 9:35 AM

BN tidak akan mengubah haluan daripada rancangannya untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang, walaupun ketua Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim berhasrat untuk mengadakan perjanjian bagi mengelakkan pertembungan.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dia sedang dalam proses memuktamadkan senarai calon untuk kesemua 56 kerusi.

"Saya akan memuktamadkan senarai calon-calon BN untuk 56 kerusi DUN dalam tempoh yang paling singkat. Kita akan umumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon.

“Ini untuk kita bentangkan bagi beberapa isu, jika ada, dapat diselesaikan lebih awal di DUN tertentu," katanya yang dipetik oleh Bernama, hari ini selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Putrajaya.

Ahmad Zahid berkata BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu.

Selain itu, beliau berkata BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka-muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.

"Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan insya-Allah, kombinasi akan kita lakukan antara pemegang-pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu. Kali ini muka-muka baharu akan turut mewarnai wajah-wajah bakat kepimpinan baharu di negeri Johor," katanya.

Dua minggu lalu, selepas konvensyen PH, Anwar berkata dia berhasrat untuk berjumpa dengan Ahmad Zahid bagi mengadakan rundingan.

"Tapi saya sebut tadi kalau mereka yang mula melanggar, kita jawab dengan tegas tapi kalau mereka berunding dengan baik, kita kan orang baik dan sabar dan bijak dan mahu selamatkan negara ini.

"Tapi kalau kamu pilih untuk bertempur apa pilihan? Malah dalam tempoh terdekat saya akan panggil pimpinan Pakatan Harapan untuk berunding - bukan sahaja di negeri-negeri ini, malah kita harus berfikir serius,” kata perdana menteri ketika itu, sambil menambah bahawa dia mempunyai harapan agar persetujuan dapat dicapai.

Bagaimanapun, sehingga minggu lalu, Anwar berkata dia belum bertemu Zahid, yang merupakan timbalan perdana menteri dalam kabinetnya.

PRU semakin hampir?

Kenyataan pengerusi BN hari ini memberi isyarat bahawa peluang untuk pakatan Madani diusahakan mungkin semakin tertutup.

Jika tiada rundingan dicapai, ia berkemungkinan memberi kesan rantaian yang boleh menyebabkan kerajaan persekutuan berpecah.

Jangkaan masih tinggi bahawa Negeri Sembilan juga akan mengadakan pilihan raya, manakala Anwar memberi isyarat bahawa dia akan mempertimbangkan pilihan raya umum mengejut.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Zahid berkata BN kini dalam proses memperkukuh jentera sedia ada selain menggerakkan bantuan dari negeri-negeri lain.

Pada Isnin lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

PRN Johor pada 2022 menyaksikan Umno-BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertanding diikuti Pakatan Harapan dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).

Bagaimanapun, Umno- BN kehilangan banyak sokongan apabila pengundi pada PRU lewat November tahun itu menyerahkan kepada PH 15 daripada 26 kerusi parlimen. Mereka memenangi 9 kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS